Kibar bendera putih atau tidak, yang susah wajar dibantu: Zulkifli

Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Zulkifli Mohamad Al-Bakri
A
A
A

PORT DICKSON - Sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan sama ada bertindak mengibarkan bendera putih atau tidak, wajar dibantu dengan segera.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, walaupun pelbagai pandangan dikemukakan termasuk oleh mufti-mufti, namun kebanyakannya bermatlamat untuk membantu golongan yang terkesan ekoran pendemik Covid-19.

“Yang penting kita turun padang tak kisah ada bendera ke tak ada bendera, orang dalam kesusahan kita bantu,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada golongan memerlukan sempena program Inspirasi Prihatin Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang pelbagai pandangan yang disuarakan oleh beberapa pihak berhubung tindakan mengibar bendera putih sebagai isyarat meminta pertolongan.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata, orang ramai juga boleh meminta bantuan dengan menghubungi talian yang disediakan menerusi laman web atau Facebook agensi di bawah seliaan beliau termasuk Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dan YaPEIM.

Beliau berkata, setakat ini bantuan bernilai lebih RM700 juta disalurkan kepada orang ramai di seluruh negara melalui kerjasama pelbagai agensi termasuk Pusat Pungutan Zakat dan Jabatan Agama Islam Negeri serta Yadim.

Sementara itu, mengenai prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan ibadah korban bersempena sambutan Aidiladha bulan ini, beliau berkata, ia tertakluk kepada Jabatan Agama Islam negeri masing-masing.

Katanya, Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) sebelum ini memutuskan ibadat korban dibenarkan, namun perlu mengikut SOP yang diwartakan Majlis Keselamatan Negara selain nasihat mufti setiap negeri.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu di Pasir Mas, Kelantan, Timbalan Ketua Pemuda Pas Pusat, Ahmad Fadhil Shaari berpendapat bendera putih adalah lambang isyarat kecemasan yang perlu diberikan perhatian termasuk pihak masjid, jiran tetangga, madrasah dan wakil rakyat kawasan.

“Dalam situasi sekarang mungkin ada orang yang perlukan lampin pakai buang untuk anak-anak dan ada yang perlukan beras, malah ada juga yang perlukan wang bagi membayar sewa rumah," katanya sambil berharap isu itu tidak terus dipolitikkan. - Bernama