Kontinjen Malaysia pahat sejarah tersendiri

Mun Yee bakal membuat penampilan kelima di pentas Olimpik.
Mun Yee bakal membuat penampilan kelima di pentas Olimpik.
A
A
A

PENYERTAAN kontinjen Malaysia pada Sukan Olimpik Tokyo bermula 23 Julai hingga 8 Ogos ini, mencatat sejarah tersendiri apabila 60 peratus atau 18 daripada 30 atlet yang layak merupakan atlet wanita.

Pada temasya Rio 2016, Malaysia diwakili 15 atlet wanita, iaitu 47 peratus daripada keseluruhan 32 atlet ketika itu, menurut Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam kenyataan pada Sabtu.

Tokyo 2020 juga menyaksikan 13 atlet negara bakal membuat penampilan pertama pada temasya sukan terbesar dunia itu, manakala lebih 50 peratus mempunyai pengalaman sebelum ini.

Penerjun negara, Leong Mun Yee bakal mencatat sejarah penyertaan terbanyak bagi atlet Malaysia di Sukan Olimpik, dengan penyertaan kelima iaitu edisi Sydney 2000, Athens 2004, Beijing 2008, London 2012 dan Tokyo 2020.

Jaguh berbasikal trek, Azizulhasni Awang bakal beraksi buat kali keempat berturut-turut selepas Sukan Olimpik Beijing, London dan Rio 2016, manakala ini kali ketiga berturut-turut buat ratu terjun negara, Pandelela Rinong yang turut bertanding di London dan Rio.

Bagi acara badminton, pasangan beregu campuran, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying juga bakal membuat penampilan ketiga berturut-turut pada temasya sukan kali ini, selepas pulang dengan meraih pingat perak pada edisi lepas.

Dalam kenyataan sama, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican merakamkan penghargaan kepada semua yang menjadi tulang belakang dalam persiapan dan persediaan kontinjen negara, selain mengucapkan tahniah kepada semua atlet yang telah layak, untuk berjuang membawa Jalur Gemilang di pentas Tokyo 2020.

“Ini merupakan saat dan detik yang cukup bermakna. Saya tahu para atlet kita telah memberikan komitmen cukup tinggi untuk sampai ke tahap ini, meskipun dihambat dengan penularan pandemik Covid-19.

Artikel Berkaitan:

“Mereka membawa nama negara, berjuang demi negara, demi Malaysia. Kita teruskan sokongan demi Malaysia buat mereka semua, dan kita doakan semoga kesemua atlet kita dipelihara daripada sebarang musibah, lebih-lebih lagi dalam keadaan penularan wabak COVID-19 ini,” katanya.

Sementara itu, KBS turut mengumumkan kontinjen negara akan dibarisi 63 orang, terdiri daripada 30 atlet dan 21 jurulatih daripada 10 jenis sukan, serta 12 pegawai, bagi membantu menguruskan kontinjen dalam pelbagai aspek sepanjang temasya tersebut berlangsung.

KBS memaklumkan bagi memastikan pengurusan kontinjen negara berjalan lancar, tiga pegawai sekretariat mewakili Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN), dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan urusan harian sekretariat kontinjen.

Dua pegawai sekretariat juga dilantik sebagai ‘Covid Liaison Officer’ (CLO), bagi menguruskan keperluan prosedur Covid-19 seperti ditetapkan pihak penganjur sebagai langkah memastikan wabak itu dapat dikekang.

Ketua Pegawai Perubatan Kontinjen (CMO), Dr Kamarul Hashimy Hussien akan mengetuai seramai lima kakitangan perkhidmatan sokongan sains dan perubatan sukan, bagi menyediakan perkhidmatan khusus kepada atlet negara.

Pasukan pelayaran yang terdiri daripada empat atlet dan tiga jurulatih akan menjadi skuad pertama berlepas ke Tokyo pada Khamis (8 Julai) bagi persiapan logistik dan latihan, sebelum aksi pelayaran membuka tirai pada 25 Julai di Enoshima Yard Harbour, diikuti oleh sekretariat kontinjen Malaysia pada 10 Julai.

Kelompok kedua 40 atlet dan pegawai daripada sukan renang, terjun, badminton, gimnastik, memanah dan menembak akan berlepas ke Tokyo pada 17 Julai, bersama pasukan sokongan sains dan perubatan sukan.

Perkampungan sukan yang akan dibuka secara rasmi pada 13 Julai di Harumi Futo, bakal menempatkan 10,000 atlet, jurulatih dan pegawai kontinjen dari 206 negara, selain dua lagi perkampungan sukan satelit turut dibuka di Enoshima, bagi sukan pelayaran dan Shuzenji untuk berbasikal. - Bernama