HKL perjelas hantaran tular pesakit dirawat atas lantai

Tangkap layar hantaran yang dimuat naik oleh individu berkenaan tular di laman sosial sebelum ini berhubung situasi pesakit di HKL.
Tangkap layar hantaran yang dimuat naik oleh individu berkenaan tular di laman sosial sebelum ini berhubung situasi pesakit di HKL.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hospital Kuala Lumpur (HKL) tampil memberi penjelasan berhubung satu hantaran mengenai seorang pesakit yang dikatakan menerima rawatan di atas lantai hospital itu baru-baru ini.

Pengarahnya, Datuk Dr Heric Corray berkata, pesakit terlibat sebelum ini telah dibawa ke Jabatan Kecemasan dan Trauma HKL, namun secara tiba-tiba berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan tiada denyutan nadi.

Beliau berkata, pada masa sama, semua katil telah digunakan dan permukaan lantai yang rata merupakan satu kaedah terbaik bagi melakukan bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) ke atas pesakit terlibat.

"Namun begitu, pesakit tidak dapat diselamatkan dan oleh kerana punca kematian tidak dapat dikenal pasti, jenazah telah dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik HKL bagi menjalani bedah siasat," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sebelum ini, seorang individu dipercayai kakitangan HKL mendedahkan menerusi laman sosial mengenai situasi hospital itu yang dikatakan sudah tidak mampu untuk menampung pesakit baharu malah ada antaranya perlu menerima rawatan CPR di atas lantai.

Selain itu, individu berkenaan turut mendakwa pertambahan jumlah pesakit di hospital itu pada masa ini menyebabkan bilangan katil termasuk katil kanvas tidak mencukupi sehingga ada yang terpaksa menunggu di atas kerusi dan kerusi roda sahaja.

Mengulas mengenai foto pesakit yang terbaring di lantai pula, Heric berkata, kes tersebut merupakan kecemasan di mana pihak terlibat mengalami sawan dan mempunyai risiko jatuh daripada katil kanvas.

"Atas faktor keselamatan dan rawatan segera, pesakit telah dibaringkan secara mengiring ke kanan untuk menggelakkan air liurnya masuk ke dalam saluran paru-paru," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Heric berkata, penggunaan katil di HKL pada masa kini adalah meningkat berikutan terdapat pertambahan penerimaan kes Covid-19 yang kebanyakannya berada pada tahap empat.

Menurut beliau, bekalan oksigen di wad hospital berkenaan sama ada jenis piping atau silinder buat masa ini juga adalah masih mencukupi.

"Sekiranya terdapat keperluan bekalan yang tinggi pada satu masa, ia akan diambil dari wad yang kurang penggunaannya dan dihantar ke wad yang lebih memerlukan.

"Pengunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) pada masa ini juga berada pada tahap tinggi dan tenaga kerja di sana dibantu oleh kakitangan yang bertugas di wad biasa serta klinik HKL," katanya.