Bantuan MAFI Prihatin kepada penduduk sekitar Labuan

MAFI Prihatin - Foto fail Bernama
MAFI Prihatin - Foto fail Bernama
A
A
A

LABUAN - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyampaikan 500 set bantuan makanan di bawah program MAFI Prihatin kepada penduduk 27 kampung di sini pada Sabtu.

Penyampaian bantuan MAFI Prihatin kepada penerima Program MAFI Prihatin antaranya dari Kampung Batu Arang, Kampung Batu Manikar dan Kampung Bebuloh di pulau bebas cukai ini disempurnakan Pengarah FAMA Negeri Sabah, Ribin Wahid.

Menurut satu kenyataan MAFI kepada Bernama pada Sabtu, sumbangan berbentuk hasil pertanian seperti sayur-sayuran dan buah-buahan itu merupakan kesinambungan program MAFI Prihatin yang dilancarkan pada Januari lepas di Wisma Tani Putrajaya oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee bagi membantu meringankan beban rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Sejak pelaksanaan MAFI Prihatin pada 27 Mei lepas sehingga 30 Jun 2021, seramai 17,195 orang telah menerima bantuan terdiri daripada petugas barisan hadapan, badan kebajikan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di 74 lokasi seluruh negara dengan jumlah keseluruhan sebanyak 36 tan metrik makanan telah disalurkan.

FAMA melalui MAFI Prihatin juga telah membantu 391 petani dan lima usahawan dalam memasarkan 20 jenis hasil pertanian dan produk mereka yang mengalami kesukaran untuk dipasarkan dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

FAMA juga bertindak memberikan khidmat nasihat kepada petani untuk menyertai program Ladang Kontrak 2.0 MAFI, atau menghubungi FAMA sekiranya menghadapi masalah pemasaran hasil pertanian yang boleh dibantu dipasarkan menerusi saluran pemasaran FAMA.

Apabila berlakunya lebihan bekalan, hasil pertanian usahawan tani akan disalurkan kepada yang memerlukan melalui khidmat dan pengaturan pasaran yang dilaksanakan oleh FAMA.

Sehingga 30 Jun lepas, FAMA telah mengeluarkan sebanyak 14,961 surat kebenaran keterlibatan dalam sektor pertanian informal termasuk aktiviti rantaian pembekalan dan pemasaran berkaitan keperluan makanan kepada usahawan tani.

Artikel Berkaitan:

Sektor pertanian formal yang melibatkan syarikat pengilangan, pengeluar produk atau industri makanan pula perlu terus mendapatkan kebenaran beroperasi melalui Covid-19 Intelligent Management System (CIMS 3.0) di bawah seliaan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

FAMA negeri Sabah sendiri telah mengeluarkan 1,015 surat pelepasan usahawan bagi menjalankan aktiviti pertanian.

Bagi memastikan kelancaran aktiviti pemasaran hasil pertanian semasa tempoh pelaksanaan PKPD Fasa Pertama ini, FAMA telah mewujudkan Bilik Gerakan yang beroperasi dari jam 8 pagi hingga 7 malam.

Ini bagi membantu para petani yang menghadapi masalah memasarkan hasil pertanian mereka dengan melayari portal FAMA Feedback System (http://ffs.fama.gov.my/aduan/index.php) atau menghubungi talian penting FAMA di 019-7476754/ 013-3777100/ 010-7632684. - Bernama