X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 29 Mei 2022

Guna loghat tempatan ajak masyarakat orang asli suntik vaksin

Ramli guna loghat tempatan bagi menarik penduduk di perkampungan orang asli Sungai Rual, Jeli hadir mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.
A
A

JELI - Seorang lelaki masyarakat orang asli daripada suku kaum Jahai menggunakan loghat tempatan bagi menarik penduduk di perkampungan orang asli Sungai Rual di sini untuk hadir mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Ramli Lanas, 52, berkata, dia gembira apabila diberi mandat oleh Jabatan Penerangan Malaysia (Japen) Kelantan untuk menjadi perantara dalam mengajak kaumnya untuk menerima suntikan sekali gus meningkatkan lagi imuniti kelompok.

"Cara ini bukan sahaja dapat menarik minat orang kampung untuk datang malah menambah keyakinan mereka menerima suntikan vaksin Covid-19," katanya kepada pemberita pada Program Outreach Vaksinasi di Dewan Serbaguna Kampung Sungai Rual di sini pada Sabtu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) yang juga Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Pengarah Penerangan Kelantan, Azahar Ismail turut hadir membuat tinjauan pada program berkenaan.

Menurut Ramli, kaedah itu membuatkan masyarakat lebih memahami mesej yang ingin disampaikan oleh kerajaan.

Katanya, selain suntikan vaksin, mesej berkaitan aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) turut diberikan perhatian bagi memutuskan rantaian pandemik Covid-19.

Sementara itu Tok Batin Kampung Sungai Rual, Bidin Daun berkata, pihaknya memuji penduduk yang menyahut seruan kerajaan dengan melengkapkan suntikan kedua dos vaksin Covid-19.

Katanya, tindakan itu merupakan salah satu cara untuk memutuskan dan mencegah penularan pandemik tersebut dalam kalangan masyarakat orang asli.

"Apabila ramai di antara kami telah divaksin, saya jadi lebih yakin sebab rasa 'dilindungi' daripada dijangkiti wabak Covid-19," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mustapa memohon kepada pihak berkuasa terlibat untuk meningkatkan bekalan vaksin ke kawasan Parlimen Jeli dalam usaha meningkatkan imuniti kelompok.

"Setakat ini, seramai 9,354 individu yang telah menerima suntikan vaksin dos pertama, bermakna kira-kira 24,000 lagi belum terima, manakala dos kedua pula 6,020 individu.

"Jadi harapan saya selaku ahli Parlimen supaya ditingkatkan bekalan vaksin kepada kawasan pedalaman seperti Jeli," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!