'Ada masalah 'kabor' je, bantuan sampai segera'

Rosol (kanan) beramah mesra dengan warga emas Tuan Sarifah Zaharah Syed Akil, 56, (tengah) selepas menyumbangkan kerusi roda di Kampung Merbau Pulas, Ajil hari ini.
 -Foto Bernama
Rosol (kanan) beramah mesra dengan warga emas Tuan Sarifah Zaharah Syed Akil, 56, (tengah) selepas menyumbangkan kerusi roda di Kampung Merbau Pulas, Ajil hari ini.
 -Foto Bernama
A
A
A

KUALA BERANG - “Sesiapa yang ada masalah di Hulu Terengganu ‘kabor’ (beritahu) sahaja, tidak perlu isi apa-apa borang untuk mendapatkan bantuan bakul makanan,” kata Datuk Rosol Wahid.

Ahli Parlimen Hulu Terengganu itu berkata, pemberian berkenaan tidak akan mengira kategori pendapatan isi rumah, asalkan mereka layak dan benar-benar terjejas.

“Peruntukan yang disalurkan pihak kerajaan sebanyak RM300,000 kepada setiap Ahli Parlimen akan digunakan sebaik mungkin dan kita tiada apa-apa prosedur yang menyukar mereka mendapatkan bantuan sebaliknya kita akan mudahkan cara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan bakul makanan kepada beberapa penduduk di Kampung Merbau Pulus, di sini pada Sabtu.

Rosol yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkata selain yang baharu memohon, bantuan juga akan diserahkan secara berperingkat kepada mereka yang tidak berkemampuan dan telah dikenal pasti oleh beberapa pihak.

Beliau berkata, penduduk di Hulu Terengganu boleh menghubungi pihaknya pada bila-bila masa, malah menurutnya nombor telefon pegawai bertugas telah disebarkan menerusi pelbagai saluran termasuk di media sosial bagi memudahkan orang ramai menghubunginya.

Katanya, sejak Covid-19 melanda, pelbagai inisiatif telah dibuat termasuk menganjurkan program Gerobok Prihatin di 93 buah masjid di situ bagi membolehkan orang ramai mendapatkan bekalan makanan pada setiap hari.

“Bagi kampung-kampung yang tiada masjid (terpencil) agihan dan penyampaian bantuan barangan keperluan asas akan diselaraskan dengan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) supaya tidak bertindih dengan program sedia ada di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: