Cubaan seludup petrol ke negara jiran gagal

Antara empat tong minyak yang ditemui dalam salah sebuah kenderaan ketika serbuan di Pengkalan Kubor, Tumpat pada Jumaat.
Antara empat tong minyak yang ditemui dalam salah sebuah kenderaan ketika serbuan di Pengkalan Kubor, Tumpat pada Jumaat.
A
A
A

TUMPAT - Enam tong berisi petrol dipercayai untuk diseludup ke negara jiran dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kuantan dalam satu serbuan di Pengkalan Haram Tualang, Simpangan, Pengkalan Kubor di sini pada Jumaat.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7 Kuantan, Superintendan Azhari Nusi berkata, serbuan kira-kira jam 10.30 pagi itu dilakukan berdasarkan maklumat unit dron membabitkan penyeludupan barangan berkenaan.

“Pegawai dan anggota PGA Batalion 7 bersama sepasukan anggota penguat kuasa daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kota Bharu membuat serbuan di pangkalan berkenaan.

“Menurut maklumat daripada pemantauan udara, unit dron mendapati sekumpulan lelaki sedang memunggah tong dari tebing Sungai Golok ke dalam sebuah perahu.

“Pasukan kami menghampiri pangkalan haram tersebut menyebabkan sekumpulan lelaki yang berada di tebing sungai itu melarikan diri menaiki perahu ke arah negara jiran.

“Seorang warga emas lelaki berumur lingkungan 60 tahun yang berada berdekatan dengan sebuah kenderaan berjaya ditangkap. Hasil pemeriksaan pada kenderaan tersebut menjumpai dua tong berisi minyak petrol," katanya di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut di kawasan sekitar menjumpai sebuah lagi kenderaan dengan empat tong minyak di dalamnya, selain pam penyedut serta alat penimbang berat.

Selain itu, katanya, pihaknya mendapati tangki minyak kenderaan berkenaan juga sudah diubah suai bagi aktiviti penyeludupan petrol.

Artikel Berkaitan:

“Jumlah keseluruhan rampasan minyak petrol di kedua-dua kenderaan tersebut ialah RM12,492. Kesemua barangan kes dan tangkapan serta kenderaan diserahkan kepada pihak KPDNHEP Kota Bharu untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.