Gesa kerajaan tangani isu doktor kontrak

Sabarudin Abdul Rahman
Sabarudin Abdul Rahman
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Inspirasi Muhibah India Muslim Malaysia (IMIM) menggesa kerajaan supaya menangani isu doktor kontrak dengan sebaik mungkin.

Pengerusinya, Sabarudin Abdul Rahman berkata, berdasarkan rekod yang ada sejak 2016, hanya 789 atau 3.4 peratus pegawai dilantik secara tetap, manakala selebihnya berkhidmat secara kontrak.

"Perkara ini agak mendukacitakan kerana sepanjang pandemik Covid-19 menunjukkan doktor kontrak adalah sangat diperlukan malah pengorbanan mereka tidak dapat dinafikan semua pihak.

"Mereka adalah wira negara yang perlu mendapat sokongan dan sanjungan.

"Daripada apa yang difahami sehingga hari ini, proses lantikan tetap masih menemukan jalan buntu yang mana proses pemilihan dan jawatan masih samar," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Pada masa sama, Sabarudin berkata, pihaknya memberi sokongan penuh kepada kempen yang digerakkan oleh Hartal Doktor Kontrak dalam menuntut kerajaan mewujudkan dan menyebarkan kriteria yang telus dan terperinci untuk lantikan doktor kontrak kepada perkhidmatan tetap termasuk layanan adil serta saksama ke atas semua staf kontrak yang tetap.

Beliau berkata, Gerakan Hartal Doktor Kontrak turut memaklumkan bahawa doktor-doktor kontrak terpaksa mengambil tindakan drastik untuk tidak bekerja pada 26 Julai ini jika kerajaan tidak memenuhi tuntutan dalam isu lantikan mereka ke dalam perkhidmatan tetap.

"Ketiadaan doktor kontrak akan mencacatkan operasi seluruh hospital dan rakyatlah yang akan menjadi mangsa terutama di saat penularan Covid-19 ini.

Artikel Berkaitan:

"Isu ini perlu dipandang serius oleh pihak kerajaan dan permintaan doktor-doktor kontrak tersebut perlu dipenuhi," katanya.

Katanya, antara perkara yang akan dibangkitkan adalah mengenai isu jurang gaji RM700 sebulan dan ketiadaan peluang untuk melanjutkan pelajaran, kecuali atas tajaan sendiri yang hanya melibatkan disiplin perubatan tertentu.