X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 08 Disember 2021

Fokus sumbangan, jangan polemik kempen bendera putih

Tuan Kamarul (kiri) dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yadim Pulau Pinang, Muhammad Zikri Zulkifli (tengah) menyampaikan bantuan kepada salah seorang penerima di Masjid Hashim Yahya pada Sabtu.
A
A

GEORGETOWN - Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menjadikan tindakan mengibar bendera putih sebagai satu polemik sebaliknya menumpukan kepada pemberian sumbangan kepada golongan yang memerlukan.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Malaysia, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh berkata, semua pihak dinasihatkan memfokuskan kepada bentuk bantuan yang boleh disalurkan kepada pihak yang memerlukan.

"Kita berpandangan, jangan terlalu memberi fokus kepada polemik dan pertikaian mengenai Kempen Bendera Putih yang dimulakan oleh rakyat. Lebih baik kita tumpukan kepada bentuk bantuan yang boleh disalurkan.

"Semua pihak, termasuk badan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan dan mereka yang berkemampuan diminta untuk membantu mereka yang memerlukan termasuk yang menaikkan bendera putih.

"Jangan jadikan kempen ini satu polemik, daripada kita cari titik perbezaan adalah lebih baik pada masa yang genting ini, kita sepakat salurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan Program Dapur Yadim di Masjid Hashim Yahya, Jalan Perak di sini, pada Sabtu.

Beliau berkata, sebagai rakyat Malaysia yang prihatin, adalah perlu memastikan tiada yang terputus makanan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tahun lalu.

"Pada masa ini kita perlu pastikan tiada yang terputus makanan dan adalah menjadi tanggungjawab semua agensi termasuk NGO untuk bergerak menyalurkan bantuan kepada mereka yang terjejas.

"Sama-sama kita membantu mereka dalam mengharungi waktu yang sukar ini," katanya.

Sebelum ini, rakyat Malaysia tampil dengan satu kempen, #KempenBenderaPutih yang meminta orang ramai yang dalam kesusahan menaikkan bendera putih bagi memaklumkan kepada umum bahawa mereka memerlukan pertolongan.

Daripada gambar yang dikongsi, kebanyakan mereka menyatakan, rakyat yang susah tidak perlu berasa malu dan perlu elak daripada melakukan perkara yang boleh merugikan diri sendiri dan keluarga.

Kebanyakan medium Facebook, Instagram dan Twitter mendapati saranan mengibarkan bendera putih disyorkan kepada mereka yang menghadapi kesusahan dan memerlukan pertolongan terutamanya dalam berdepan cabaran pandemik Covid-19.

Dalam perkembangan sama, Yadim menyampaikan pek makanan kepada 60 keluarga yang memerlukan bantuan terutama mereka yang terjejas dengan PKP.

Tuan Kamarul berkata, ketika PKP 1.0, pihaknya sudah menyalurkan bantuan antaranya berbentuk pek makanan, sumbangan peralatan, pasukan menjalankan sanitasi dan sebagainya.

"Pada PKP 1.0, sebanyak RM1 juta bantuan disalurkan manakala untuk PKP 2.0 pula, RM1.2 juta. Bagi PKP 3.0, Yadim mensasarkan RM1.5 juta bantuan kepada mereka yang memerlukan berikutan lebih ramai yang terkesan pada kali ini.

"Kami juga telah menggerakkan seramai 10,000 sukarelawan Yadim termasuk ahli kariah masjid untuk menjadi 'mata dan telinga' bagi mengenal pasti rakyat yang berada dalam kesusahan.

"Ini bagi membolehkan bantuan sampai kepada mereka yang betul-betul memerlukan. Kita percaya, selain menjadi institusi ibadah, institusi masjid juga dapat menjadi ejen penyaluran bantuan yang terbaik kepada masyarakat," katanya.

Tambahnya, Yadim yang bekerjasama dengan institusi masjid akan menyalurkan pek bantuan makanan kepada 60 keluarga yang telah dikenal pasti memerlukan bantuan setiap minggu.

Katanya, bantuan itu bukan dilaksanakan di negeri terpilih sahaja malah di seluruh negara.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!