70,000 batang rokok ‘ditinggal’ tepi pantai

PPM menunjukkan 70,000 batang rokok putih bernilai RM52,500 yang dirampas di Pantai Pachakan, Semerak, Pasir Puteh.
PPM menunjukkan 70,000 batang rokok putih bernilai RM52,500 yang dirampas di Pantai Pachakan, Semerak, Pasir Puteh.
A
A
A

PASIR PUTEH - Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga berjaya merampas 70,000 batang rokok putih bernilai RM52,500 yang disyaki diseludup masuk melalui jalan laut dari negara jiran di Pantai Pachakan, Semerak, Pasir Puteh.

Komander PPM Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Norzaid Muhammad Said berkata, hasil siasatan mendapati kegiatan penyeludupan itu didalangi penduduk tempatan.

Menurut beliau, modus operandi yang dibuat suspek adalah dengan menggunakan bot enjin yang berkuasa tinggi dan memilih kawasan pesisir pantai yang selamat untuk pendaratan sebelum dipunggah kenderaan pacuan empat roda yang ditetapkan oleh tekong darat.

“Hasil intipan di pesisir pantai, kelihatan sebuah kenderaan pacuan empat roda memecut keluar dari kawasan jalan pantai setelah menyedari kehadiran pihak polis.

"Pemeriksaan dilakukan di kawasan berkenaan menjumpai tujuh kotak mengandungi 70,000 batang rokok yang dibalut dengan plastik hitam,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Norzaid berkata, pihaknya menunggu selama 30 mini, namun tiada siapa pun yang datang untuk menuntut barangan berkenaan sebelum dibawa ke Markas Taktikal PPM Tok Bali bagi tindakan selanjutnya.

Beliau berkata, rokok berkenaan dipercayai diseludup masuk ke Malaysia melalui Thailand untuk pasaran negeri pantai timur seperti Kelantan dan Terengganu.

“Kita akan melipat gandakan penugasan dan pemeriksaan bagi memastikan keselamatan perairan pantai timur negara berada pada tahap terbaik dalam usaha membendung aktiviti penyeludupan rokok," katanya.

Artikel Berkaitan: