Kerajaan sedia bebaskan orang asli daripada kemiskinan

Mustapa (kiri) meninjau proses suntikan Covid-19 salah seorang masyarakat orang asli di Program Outreach Vaksinasi di Dewan Serbaguna Kampung Sungai Rual, Jeli pada Sabtu.
Mustapa (kiri) meninjau proses suntikan Covid-19 salah seorang masyarakat orang asli di Program Outreach Vaksinasi di Dewan Serbaguna Kampung Sungai Rual, Jeli pada Sabtu.
A
A
A

JELI - Kerajaan akan memperkenalkan beberapa strategi baharu menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dalam usaha membebaskan masyarakat orang asli di negara ini daripada kepompong kemiskinan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, antara strategi tersebut ialah memperbanyakkan projek yang boleh menjana pendapatan, sekali gus membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat orang asli.

“Sebagai contoh, di Kampung Sungai Rual ini ada penternakan kambing dan ikan keli. Jadi, kita akan besarkan projek sebegini yang berdaya maju sehingga mampu meningkat atau menjana pendapatan mereka,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Program Outreach Vaksinasi Covid-19 di Dewan Serbaguna Kampung Sungai Rual di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, sebelum Covid-19 melanda, kadar kemiskinan dalam kalangan orang asli di negara ini ialah 34 peratus daripada jumlah keseluruhan sebanyak 200,000 orang.

Bagaimanapun, katanya, ada dalam kalangan masyarakat orang asli telah berjaya melepasi Paras Garis Kemiskinan (PGK).

Sementara itu, Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli berkata, agenda membasmi kemiskinan merupakan perkara penting buat negara.

Menurutnya kerajaan menyasarkan untuk menghapuskan kemiskinan seperti kejayaan China mengeluarkan 100 juta rakyatnya daripada kemiskinan pada Februari lalu.

Beliau sehubungan itu berkata, pihaknya telah menubuhkan kumpulan pemikir mengenai kemiskinan membabitkan 25 wakil daripada pihak kerajaan, swasta, universiti serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Artikel Berkaitan:

"Mesyuarat pertama kumpulan berkenaan telah diadakan pada 1 Julai lepas yang dipengerusikan oleh saya sendiri.

"Mesyuarat ini juga akan diadakan setiap bulan untuk kita berjumpa (bermesyuarat) dan berkongsi pengalaman bagaimana cara untuk menangani kemiskinan di negara ini termasuk dalam kalangan kaum orang asli,” katanya.