Kekalkan Nafas sebagai pengedar tunggal benih padi: Pesawah

Kenyataan akhbar oleh Muhamad Fuad pada Sabtu.
Kenyataan akhbar oleh Muhamad Fuad pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah) meminta kerajaan supaya mengekalkan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) sebagai pengedar tunggal benih padi di dalam negara.

Pengerusinya, Muhammad Fuad Yaacob berkata, pengekalan tersebut perlu dilakukan selagi mana tidak ada perubahan dalam sistem subsidi benih padi kepada sistem terbuka melalui kupon yang lebih baik.

Katanya, meskipun berlaku kelewatan dalam penghantaran benih padi yang sah, namun tidak adil menyalahkan Nafas semata-mata atas perkara tersebut.

“Pengedaran benih dibuat sepenuhnya melalui Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) untuk menghapuskan orang tengah yang mengeksploitasi pasaran.

“Belum pun sampai musim seterusnya, Bahagian Industri Padi dan Beras, Kementerian Pertanian Dan Industri Makanan (IPB MAFI) dikatakan akan mengubah semula sistem pengedaran benih ini kepada sistem lama.

“Iaitu beberapa syarikat berkepentingan termasuk pengeluar benih diberikan lesen untuk menjadi pemborong dan mereka nanti akan melantik agen masing-masing sama seperti sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sejak Disember tahun lalu, kerajaan melantik Nafas sebagai pengedar benih tunggal dengan harga RM35 untuk satu beg benih.

Muhamad Fuad berkata, kelewatan penghantaran berlaku kerana Nafas tidak diberikan masa yang mencukupi sebagai persediaan untuk mengedarkan benih padi sah tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Sejak mula lagi kami berpandangan sistem pengedaran Nafas ini perlu dilaksanakan secara berperingkat bukan secara mengejut.

“Apapun, hakikatnya adalah pengedaran telah selesai dan Nafas telah berjaya mengurangkan permasalahan di atas sehingga berakhirnya musim pertama ini.

“Melalui penelitian kami, tidak adil disalahkan Nafas semata-mata atas kelewatan dan isu kualiti benih yang berlaku kerana semua kuota pembekal benih padi dan kelulusan benih adalah ditetapkan oleh IPB dan Jabatan Pertanian,” ujarnya.

Menurut Muhamad Fuad, kelewatan pengedaran itu juga adalah berpunca daripada pembekal yang diberikan kuota oleh IPB di samping kelewatan kelulusan oleh Jabatan Pertanian.

Sementara itu, daripada data tempahan yang diberikan oleh PPK, beliau berkata, pihaknya dimaklumkan kuota sebenar biji benih padi sah untuk semusim adalah 28,000 metrik tan (MT) sahaja dan bukan 36,000 MT yang lazimnya dituntut pengeluar sebelum ini.

“Maknanya selama ini mungkin ada ketirisan sebanyak 8,000 MT semusim.

"Selepas perlantikan 12 syarikat pemborong yang baru untuk menjadi pengedar akan datang, peranan PPK sebagai ejen tidak diperlukan lagi memandangkan syarikat boleh melantik ejennya sendiri.

“Maka, kami bimbang keadaan akan kembali seperti sebelum ini yang mana berlaku kegiatan sorok, eksploitasi bekalan dan kenaikan harga oleh kartel-kartel benih padi,” jelasnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa perniagaan Nafas adalah demi kebaikan petani memandangkan ia merupakan wakil kepada ahli berdaftar PPK.