KSM terima 4,267 aduan berhubung isu perburuhan

Awang melihat operasi di sebuah kilang elektronik di Kawasan Perindustrian Dewani, Johor Bahru.
Awang melihat operasi di sebuah kilang elektronik di Kawasan Perindustrian Dewani, Johor Bahru.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerima 4,267 aduan berhubung pelbagai isu perburuhan sejak aplikasi 'Working For Workers' (WFW) diperkenalkan awal Mei lalu.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, sehingga kini daripada jumlah itu, aduan berkaitan majikan tidak membenarkan pekerja bekerja dari rumah (BDR) mendahului dengan sebanyak 1,878 kes seluruh negara.

Menurut beliau, aduan berkaitan dengan gaji yang tidak dibayar atau pembayaran gaji lewat merekodkan 1,013 kes, selain pemotongan upah tidak mengikut undang-undang sebanyak 308 kes.

"Daripada jumlah aduan itu, sebanyak 3,379 yang diterima sudah diambil tindakan termasuk tindakan perundangan, manakala 164 kes sedang menunggu verifikasi.

“Setelah siasatan dijalankan, ia bukanlah majikan tidak benarkan bekerja dari rumah tetapi majikan tidak mengikut syarat ditetapkan ialah 60 peratus bekerja di tempat kerja atau kilang, manakala selebihnya bekerja dari rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengetuai Operasi Pematuhan Akta 446 dan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara di sebuah kilang elektronik dan sebuah asrama pekerja asing di Kawasan Perindustrian Dewani di sini pada Sabtu.

Operasi itu melibatkan Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kesihatan Negeri Johor dan Jabatan Imigresen.

Mengulas lanjut, beliau berkata, setelah semakan dibuat, banyak kes seperti gaji tidak dibayar, manakala upah kerja lebih masa turut dipotong sedangkan kerajaan beri insentif yang besar untuk membantu majikan meringankan beban mereka ketika menghadapi pandemik Covid-19.

Artikel Berkaitan:

“Daripada keseluruhan aduan yang kita terima sejak Mei, sebanyak 616 kes masih menunggu pemeriksaan dijalankan, manakala 108 kes lagi sedang dalam proses mendapatkan pengesahan.

“Kita juga banyak mendapat aduan tentang pekerja yang dibuang kerja tanpa notis iaitu melibatkan 263 kes, manakala tiada bayaran lebih masa dan faedah pemberhentian adalah sebanyak 254 kes.

“Kementerian turut menerima 107 aduan berkaitan majikan tidak mematuhi upah minimum, 81 kes berkaitan tiada kontrak pekerjaan dan 66 kes tiada cuti tahunan,” ujarnya.

Tambah Awang, Selangor mencatatkan aduan tertinggi iaitu sebanyak 1,451 kes diikuti Kuala Lumpur sebanyak 1,007 kes dan Johor dengan 539 kes.

Aplikasi WFW membolehkan pekerja termasuk warga asing melaporkan 14 jenis aduan dan permasalahan berkaitan isu perburuhan secara dalam talian yang dikendalikan 80 Pejabat Tenaga Kerja di seluruh negara.

Sehingga kini, sebanyak 20,371 majikan dan 109,809 buah penginapan di seluruh negara telah diperiksa dan diambil tindakan di bawah akta-akta di bawah bidang kuasa kementerian berkenaan.