X

Kindly register in order to view this article
!

'Rider' gigih hantar makanan dari KL ke Kuala Pilah, gembirakan ibu

Video mengenai 'rider' yang menghantar makanan dari Kuala Lumpur ke Kuala Pilah di aplikasi TikTok milik Sashila tular.
A
A

KUALA PILAH - Kegigihan seorang penghantar makanan membuat penghantaran dari Kuala Lumpur (KL) ke Dangi di sini baru-baru ini bagi memenuhi permintaan sebuah keluarga ternyata memberikan kegembiraan kepada seorang ibu yang uzur.

Perkara itu dikongsi seorang wanita menerusi satu video di aplikasi TikTok dengan keterangan video 'Kegigihan mencari nafkah tu'.

Wanita berkenaan, Sashila Kasa, 46, berkata, segala urusan termasuk bayaran dibuat oleh kakak ipar dan anak saudaranya yang menetap di Kuala Lumpur.

"Ramai yang tanya saya kenapa penghantar makanan itu datang jauh sangat dari Kuala Lumpur ke Kuala Pilah, sebenarnya saya sedang menjaga ibu mentua berusia 87 tahun yang uzur dan tidak berapa sihat.

"Anak buah dan kakak ipar saya ingin kirimkan kek dari Kuala Lumpur sebab ibu mentua suka makan kek yang mereka buat," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Sashila yang merupakan seorang guru di Sekolah Kebangsaan Nuri, Air Mawang berkata, bagaimanapun, anak buahnya yang berniaga ikan bakar juga mahu mengirimkan makanan itu kepada neneknya di sini.

"Kalau kek mereka boleh pos sahaja, tetapi anak buah ingin kirimkan ikan bakar sekali, jadi mereka menggunakan perkhidmatan penghantaran.

Sashila (belakang, kanan) bersama keluarga dan ibu mentuanya (belakang, tengah). - Foto Sashila
Sashila (belakang, kanan) bersama keluarga dan ibu mentuanya (belakang, tengah). - Foto Sashila

"Alhamdulillah, ibu mentua gembira malahan begitu ceria apabila mendapat kiriman makanan dari Kuala Lumpur itu selain menaikkan semangatnya.

"Jika sebelum ini setiap kali hari raya atau bercuti ke kampung, kakak ipar pasti akan buat kek untuk ibu mentua namun disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dia tidak dapat berbuat demikian," katanya.

Sementara itu, menerusi ruangan komen TikTok Sashila, seorang wanita mengaku bahawa penghantar makanan itu merupakan suaminya.

Sashila mengucapkan terima kasih kepada penghantar makanan itu kerana bersusah-payah sehingga sanggup menghantar makanan sampai ke Kuala Pilah selain mendoakannya sentiasa dimurahkan rezeki.

"Menunggang motosikal dari Kuala Lumpur ke Kuala Pilah boleh mengambil masa hampir dua jam dan dia sanggup ambil 'job' sejauh ini dalam keadaan sekarang demi meneruskan kelangsungan hidup bersama keluarganya," katanya.

Tambahnya, kiriman ini merupakan pengikat kasih antara keluarganya selain panggilan telefon dan video, tambahan ketika ini tidak dibenarkan rentas negeri buat sementara waktu.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!