PKPD Selangor: Polis tumpu SJR bergerak di Kuala Selangor

Polis melakukan SJR di hadapan Balai Polis Tanjong Karang pada pelaksanaan PKPD di tiga mukim di daerah Kuala Selangor pada Sabtu.
Polis melakukan SJR di hadapan Balai Polis Tanjong Karang pada pelaksanaan PKPD di tiga mukim di daerah Kuala Selangor pada Sabtu.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Polis akan melakukan sekatan jalan raya (SJR) bergerak di tiga mukim di daerah Kuala Selangor berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, SJR bergerak itu dilakukan bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) PKPD di tiga mukim iaitu Ijok, Bestari Jaya dan Jeram dipatuhi penduduk.

Menurut beliau, pihaknya komited melaksanakan pemantauan agar pematuhan SOP PKPD dalam kalangan masyarakat dapat dipertingkatkan dari masa ke masa.

"Kita akan memberi tumpuan kepada SJR bergerak dengan pemantauan lebih kerap di kawasan PKPD supaya tahap pematuhan SOP diikuti oleh orang ramai," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Sabtu.

Ramli berkata, pihaknya akan terus mengekalkan tiga SJR seperti pelaksanaan PKP sebelum ini di daerah Kuala Selangor.

Katanya, tiga SJR itu ialah di hadapan Balai Polis Jeram, hadapan Balai Polis Tanjong Karang dan di Lebuhraya KL-Kuala Selangor (LATAR) Ijok.

"Kita kekalkan SJR sedia ada sahaja dengan pemantauan berterusan bagi mengawal pergerakan laluan keluar dan masuk," katanya.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Khamis memaklumkan PKPD dilaksana di 34 mukim di lapan daerah Selangor selama 14 hari bermula Sabtu sehingga 16 Julai.

Artikel Berkaitan: