X

Kindly register in order to view this article
!

Industri pembiakan cendawan kini menarik minat golongan muda

Che Abdullah (tengah) melihat cendawan yang ditanam melibatkan komuniti kampung berkenaan.
A
A

PASIR MAS – Kerajaan sentiasa menarik minat anak muda untuk bergiat aktif dalam produk pertanian berteknologi tinggi supaya hasil yang diperoleh boleh dipasarkan sehingga ke peringkat antarabangsa.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, langkah tersebut juga adalah untuk 'meremajakan' lagi pertanian negara dengan pelbagai teknologi terkini.

Menurutnya, sebagai contoh, industri pembiakan cendawan dalam negara yang kini semakin menarik minat golongan muda dan komuniti di peringkat kampung dan sebagainya.

“Industri cendawan di Malaysia pada hari ini kian meluas, dan hasil tanaman semakin meningkat dari tahun ke tahun. Pada tahun 2018, pengeluaran tanaman cendawan adalah sebanyak 5,589.1 tan, meningkat kepada 8,797.6 tan pada tahun 2019.

“Untuk Kelantan, pengeluaran tanaman cendawan pada tahun 2019 adalah sebanyak 393.2 tan dan meningkat pada tahun 2020 kepada 501.6 tan.

“Sekiranya peningkatan seperti ini terus meningkat setiap tahun, ia akan memenuhi permintaan di dalam negara, dan seterusnya ke pasaran antarabangsa,” katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke Projek Komuniti Kampung Beta Pohon Buloh, Pasir Mas yang mengusahakan tanaman cendawan.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti, Datuk Nassuruddin Daud.

Mengulas lanjut, Che Abdullah berkata, industri cendawan kini menarik minat ramai usahawan terutama dalam kalangan orang muda kerana cendawan mendapat tempat yang tinggi di pasaran kerana hasil yang pelbagai guna dalam masakan serta ia boleh dijadikan produk hiliran.

Beliau berkata, dengan kerjasama beberapa agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) seperti Bahagian Industri Tanaman Ternakan dan Perikanan (ITTP), Jabatan Pertanian Malaysia (DOA), Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), industri cendawan pasti akan terus berkembang dan mendapat tempat di pasaran.

“Dalam Agro Makanan Negara 2.0, antaranya kerajaan menekankan kepada kesesuaian revolusi industri 4.0, maka keseluruhan pertanian ini akan dipertingkatkan untuk menarik anak-anak muda untuk menceburi sektor pertanian.

“Ia akan jadi timbal balik, apabila masuk anak muda, mereka boleh guna teknologi terkini. Dengan adanya teknologi baru, akan ada anak muda yang akan sertai. Ia saling bersatu antara satu sama lain.

“Memang apa sekalipun yang kita tanam selepas ini memang kita perlu fikirkan pasaran luar, jangan hanya fikirkan pasaran dalam negara sahaja. Itu yang perlu kita tekankan dari semasa ke semasa,”katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!