Langgar SOP: Lebih RM1 juta kompaun dikeluarkan di Kemaman

Dr Mohd Anuar Abdul Rahman
Dr Mohd Anuar Abdul Rahman
A
A
A

KEMAMAN - Lebih RM1 juta kompaun dikeluarkan pihak penguat kuasa di daerah ini atas pelbagai kesalahan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang tempoh Ops Bersepadu Interagensi Pelan Pemulihan Negara (PPN) sejak 31 Mei hingga Jumaat.

Pegawai Kesihatan Daerah Kemaman, Dr Mohd Anuar Abdul Rahman berkata, daripada jumlah kompaun itu, RM934,000 dikeluarkan ke atas 95 syarikat (perbadanan) dan RM68,000 ke atas 45 individu.

Menurut beliau, antara kesalahan yang paling tinggi dilakukan oleh majikan adalah gagal memastikan penjarakan sosial di kawasan premis seperti tidak menyediakan penandaan, selain tidak menghadkan waktu operasi.

"Turut dikesan, ada pemilik premis gagal menyediakan pengimbas suhu di premis mereka serta tidak menghadkan jumlah pekerja yang bekerja dalam tempoh satu masa seperti diarahkan pihak berkuasa.

"Bagi kompaun ke atas pekerja pula antara yang kesalahan yang dikerap dilakukan adalah gagal mengimbas kod di aplikasi MySejahtera, gagal mematuhi penjarakan sosial dan tidak memakai pelitup muka,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Dr Mohd Anuar berkata, kesalahan utama dikenalpasti terutama di kilang ialah tiada penjarakan sosial yang mana seharusnya majikan perlu mengawal pekerjanya berhimpun terutama pada waktu rehat dan makan.

"Tempat-tempat berkumpul ini seperti tempat merokok, tempat makan, tempat solat dan mana-mana tempat yang boleh pekerja berkumpul perlu dibuat kawalan seperti membuat penandaan penjarakan dan menetap had jumlah maksima dalam satu-satu masa," katanya.

Katanya, daripada jumlah kompaun dikeluarkan membabitkan Ops 1, lima Ops Aduan dan selebihnya Ops fasa 2 serta Ops Patuh yang dijalankan dalam tempoh berkenaan hasil kerjasama baik melibatkan agensi penguatkuasaan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu dan Majlis Perbadanan Kemaman (MPK).

Artikel Berkaitan: