4 premis diarah tutup, 77 kompaun dikeluarkan di Johor

Op Patuh dilakukan di setiap daerah di Johor dalam tempoh dua hari, bermula Jumaat. - Foto Polis JBS
Op Patuh dilakukan di setiap daerah di Johor dalam tempoh dua hari, bermula Jumaat. - Foto Polis JBS
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sebanyak empat premis diarahkan tutup serta-merta dan 77 kompaun bernilai RM770,000 dikeluarkan dalam Op Patuh kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Johor dalam tempoh dua hari, bermula Jumaat.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dalam tempoh itu, sebanyak 22 operasi dijalankan di seluruh Johor, dengan kekuatan keseluruhan 503 orang, terdiri daripada 322 pegawai dan anggota polis serta 181 penguat kuasa dari agensi-agensi lain.

Menurutnya, daripada 77 kompaun yang dikeluarkan, 48 dikenakan kepada perbadanan (pemilik premis) dan 29 kepada pekerja dan pelanggan.

Ayob Khan
Ayob Khan

"Sepanjang tempoh dua hari operasi, 120 premis telah diperiksa. Penekanan operasi adalah kepada premis-premis kilang yang beroperasi yang mana daripada jumlah tersebut, 100 kilang telah diperiksa.

"Selain itu, 14 premis perniagaan, tiga pasar raya dan tiga terminal bas juga diperiksa.

"Antara kesalahan yang dikenakan kompaun adalah melebihi kapasiti datang bekerja 60 peratus (lima kompaun), salah guna surat kebenaran beroperasi MITI (tiga kompaun), tidak patuhi SOP asas (42 kompaun) dan melanggar syarat Akta Kerajaan Tempatan (27 kompaun)," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Jelas Ayob, Op Patuh diadakan secara menyeluruh di semua daerah, di mana ketua-ketua polis daerah telah dilantik sebagai 'ground commander' sepanjang tempoh operasi berlangsung.

Artikel Berkaitan:

Selain polis, antara agensi yang terlibat ialah Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Tenaga Kerja, Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerja (JKKP), Jabatan Imigresen, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Jabatan Pengangkutan Jalan, Kementerian Dalam Negeri, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Perkeso, Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan serta pihak berkuasa tempatan.

"Kita akan mempergiatkan operasi ini secara berterusan, berperancangan dan signifikan bagi menyahut saranan kerajaan untuk mengurangkan kadar ketidakpatuhan SOP yang boleh membawa kepada peningkatan kes Covid-19," katanya.