Lelaki ditemukan mati dalam bilik berkunci

Mayat mangsa dibawa keluar untuk bedah siasat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh. (Gambar kecil: Asisten Komisioner Yahaya Hassan)
Mayat mangsa dibawa keluar untuk bedah siasat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh. (Gambar kecil: Asisten Komisioner Yahaya Hassan)
A
A
A

IPOH - Kebimbangan hati seorang ibu membongkar penemuan mayat anak lelakinya dalam keadaan terbaring dan terkunci di sebuah bilik di Taman Bersatu di sini pada Jumaat.

Keadaan mangsa yang bekerja swasta berusia 20-an itu disedari sekitar jam 6.30 petang selepas didapati seharian tidak keluar bilik.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, ahli keluarga telah beberapa kali mengetuk pintu bilik dan memanggil mangsa, namun tiada sahutan.

Menurutnya, khuatir dengan keadaan itu, mereka segera meminta bantuan jiran untuk membuka pintu bilik terbabit sebelum menemui mangsa terbaring di atas katil.

"Kita menerima panggilan kejadian ini daripada pasukan forensik hospital yang meminta polis datang ke sebuah rumah untuk sama-sama menjalankan siasatan ke atas satu kematian.

"Tiba di lokasi, didapati satu mayat dalam keadaan mencurigakan kerana secara kasar seolah-olah ada unsur jenayah berikutan terdapat beberapa ikatan tali pada tubuh badan mangsa.

"Bagaimanapun apabila diperiksa secara dekat, ia bukanlah satu ikatan yang boleh mematikan mangsa dan didapati tiada sebarang unsur jenayah berlaku dalam tempat kejadian," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian pada malam Jumaat.

Beliau berkata, buat masa ini polis mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut berdasarkan penemuan beberapa barang kes lain di bilik terbabit.

Artikel Berkaitan:

"Proses bedah siasat akan dijalankan pada Sabtu untuk mengetahui punca sebenar kematian mangsa," katanya.