Perlu pupuk daya tahan diri

No Image Caption
A
A
A

SESUNGGUHNYA dunia ini adalah adil mengikut keupayaan masing-masing. Justeru, setiap ganjaran dan ujian yang dikurniakan ALLAH juga sesuai dengan keupayaan mereka menanggungnya.

Bagi mereka yang senang, diberikan ujian berbeza dengan yang susah. Begitu juga yang kuat, tentunya ujiannya tidak sama dengan yang lemah.

Pun begitu, ujian tetap ujian. Bagi yang senang dan susah serta yang kuat dan lemah tetap akan ditimpa ujian.

Namun, kemenangan dalam menghadapi ujian tersebut bergantung kepada keupayaan daya tahan diri masing-masing.

Secara fitrahnya, setiap insan akan mempertahankan diri apabila menghadapi sesuatu ujian atau ancaman. Setiap ancaman datang daripada pelbagai bentuk dan arah.

Pendek kata, semua ujian yang menyebabkan kita berasa gelisah, sedih, tidak berupaya dan juga malu akan menggerakkan mekanisme dalam diri kita untuk mengatasi masalah tersebut sebaik mungkin.

Walaupun begitu, tidak semua berupaya menggerakkan mekanisme otak dan hati mereka dengan optimum sebagai pelindung daya tahan diri. Apa yang jelas, mereka perlu dibantu agar dapat bangkit semula.

Menurut perspektif psikologi, daya tahan diri bermaksud keupayaan kita untuk bangkit semula daripada segala cabaran dan kesusahan hidup dengan memperkukuhkan keupayaan mental serta emosi agar sentiasa berada di atas landasan ketenangan dan kesejahteraan hidup.

Artikel Berkaitan:

Secara umumnya, terdapat lima kaedah yang dapat membantu daya tahan diri iaitu faham makna kehidupan, mengembangkan emosi positif, mendapatkan sokongan sosial, belajar strategi bertindak sewaktu krisis dan menjaga kesihatan diri.

Sebetulnya, masih ramai yang tidak memahami makna dalam kehidupan. Apabila diri dilanda krisis, kebanyakannya hendak mensabitkan orang lain dan persekitaran yang menyebabkan mereka berkeadaan sedemikian.

Walhal, pemikiran seperti sudah tiada harapan, tidak dikasihi dan tidak berguna masih lagi membaluti diri.

Natijahnya, mula berasa orang sekeliling sudah tidak mahu membantu, membenci dan menganggap dirinya seperti sampah dalam masyarakat.

Akhirnya membuat rumusan, dunia tidak adil kepadanya dan lebih baik mati sahaja.

Hal sebeginilah menyebabkan ramai yang mengambil keputusan untuk membunuh diri kerana sudah tidak bermakna untuk hidup.

Berkaitan hal itu, kegagalan kita memahami makna dalam kehidupan bukan kerana tidak kuat, namun kita sebenarnya sudah tidak sedar, tidak waras serta celaru pemikiran kerana tenaga dalam diri sudah hampir habis digunakan untuk melawan ujian yang begitu besar menurut keupayaannya.

Bagi menguatkan tenaga dalam diri, kita perlu menstrukturkan semula cara kita berfikir, menguruskan perasaan dan meningkatkan kerohanian diri.

Hakikatnya, keupayaan kita memupuk daya tahan diri bukannya boleh diperkukuhkan dengan sekelip mata. Justeru, proses memperkukuhkan diri perlu dilakukan dari masa ke masa.

Paling penting, kita jangan putus harapan dengan ALLAH kerana itulah sahaja cara supaya kita tidak hanyut.

Sesungguhnya ALLAH telah berfirman:

“Kemudian jika mereka berpaling ingkar, maka katakanlah (wahai Muhammad) ‘Cukuplah bagiku ALLAH (yang menolong dan memeliharaku), tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan dia, kepada-Nya aku berserah diri dan Dialah yang mempunyai Arasy yang besar.” (Surah At-Taubah, 9:129).

Malah, Rasulullah SAW telah mengajar kepada kita agar sentiasa berdoa dipermudahkan urusan iaitu:

“Ya ALLAH, tidak ada kemudahan kecuali yang Engkau buat mudah. Dan Engkau menjadikan kesedihan (kesulitan), jika Engkau kehendaki pasti akan menjadi mudah." (Hadis Riwayat Ibnu Hibban).

Pada hemat saya, selagi kita tidak bersungguh-sungguh memperkuatkan diri, selagi itulah kita terpenjara dalam ‘kepompong’ kesusahan.

Walaupun kita tidak sekuat mana, sekurang-kurangnya tidak malu untuk ‘mengibarkan bendera putih’ sudahpun dianggap suatu kejayaan.

* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS) Universiti Malaysia Perlis