Pakar kesihatan jangka kes tidak menurun

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Pakar kesihatan berpendapat tempoh 14 hari Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Selangor dan Kuala Lumpur tidak akan memberi kesan kepada penurunan kes jangkitan Covid-19.

Pakar kesihatan pekerjaan, kecemasan dan kesihatan awam, Dr Hanafiah Bashirun berkata, pengumuman PKPD dilihat mengelirukan dan tiada beza dengan PKP yang dilaksanakan sejak Jun lalu.

Menurutnya, dalam garis panduan yang dikeluarkan oleh kerajaan itu, pergerakan akan tetap berlaku di tempat yang menjadi punca utama penularan kes Covid-19 iaitu sektor perkilangan dan tempat kerja.

“Kes tidak akan berkurangan kerana kilang masih beroperasi. Surat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang diberikan sebelum ini boleh digunakan.

“Bagaimana kita mahu mengawal penularan Covid-19 jika kilang yang menjadi punca utama penularan masih beroperasi?

“Rakyat yang tidak bekerja pula terpaksa duduk di rumah kerana tempat kerja terpaksa ditutup.

“Itu persoalan paling besar sekali. Bila kita ulang benda yang sama, kita akan dapat keputusan yang sama,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Sementara itu, pakar kesihatan awam daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Sharifa Ezat Wan Puteh menjangkakan kes Covid-19 tidak akan mengalami penurunan yang ketara sekiranya tiada langkah diambil untuk mengurangkan kapasiti kehadiran di kilang dan tempat kerja.

Artikel Berkaitan:

“Akan ada sedikit penurunan tetapi tidak drastik sebab kita masih membenarkan pergerakan untuk pekerja di sektor perlu. Meskipun sektor perlu ini boleh berjalan, tetapi sepatutnya kena kurangkan kapasiti melainkan mereka yang bekerja itu dah divaksin, jadi lain cerita,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau menjangkakan kes Covid-19 melibatkan tempat kerja akan mula merekodkan penurunan apabila program vaksinasi terhadap pekerja mula dilaksanakan khususnya di kawasan sektor perindustrian yang padat seperti Selangor dan Pulau Pinang.