X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 28 Oktober 2021

Itali gah singkir Belgium

Insigne (kanan) meraikan jaringannya ketika aksi menentang Belgium di Allianz Arena. - Foto EPA
A
A

ITALI mengesahkan kemaraan ke saingan separuh akhir Euro 2020 selepas menewaskan Belgium 2-1 dalam aksi suku akhir di Allianz Arena, Munich awal pagi tadi.

Lebih manis, kejayaan tersebut menyaksikan skuad kendalian Roberto Mancini itu yang kini menduduki tangga ketujuh dunia berjaya melebarkan rekod tanpa kalah dalam 32 perlawanan.

Sebaik wisel permulaan dibunyikan, kedua-dua pasukan tampil dengan corak permainan pantas dengan Itali terlebih dahulu berjaya merobek gawang Belgium hasil satu sepakan percuma.

Bagaimanapun, jaringan tonggak pertahanan Itali, Leonardo Bonucci pada minit ke-13 itu dibatalkan selepas dia didapati berada dalam kedudukan ofsaid.

Belgium mencemaskan seketika kem Itali hasil percubaan menarik Kevin de Bruyne pada minit ke-22 dan Romelu Lukaku berselang tiga minit kemudian.

Namun, Belgium yang tampil selaku pasukan nombor satu dunia terpaksa akur dengan ketangkasan penjaga gol Itali, Gianluigi Donnarumma.

Gol pertama The Azzurri akhirnya menjelma menerusi jaringan pemain tengah, Nicolo Barella pada minit ke-31 menerusi satu sepakan percuma.

Itali menambah gol kedua apabila rembatan menarik Lorenzo Insigne dari luar kotak penalti melepasi jangkauan penjaga gol Belgium, Thibaut Courtois pada minit ke-44.

The Red Devils berjaya merapatkan kedudukan apabila Lukaku menyumbat gol menerusi sepakan penalti pada masa kecederaan.

Bersambung babak kedua, Belgium mempunyai sekurang-kurangnya dua peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan menerusi Lukaku.

Bagaimanapun, penyerang berbisa Inter Milan itu gagal menterjemahkan peluang pada minit ke-61 dan 70 bagi menambah koleksi jaringannya dalam perlawanan tersebut.

Dengan kemenangan itu, Itali akan membuat perhitungan dengan Sepanyol dalam aksi separuh akhir di Stadium Wembley pada 7 Julai ini.

Sepanyol mara ke separuh akhir selepas menewaskan Switzerland 3-1 menerusi penentuan sepakan penalti dalam satu lagi aksi suku akhir yang berlangsung di Saint Petersburg.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!