Dua pengalaman berbeza Azidi sebagai 'frontliners'

Antara tugasan yang perlu dilakukan Azidi dalam APM.
Antara tugasan yang perlu dilakukan Azidi dalam APM.
A
A
A

KOTA BHARU - Bertugas sebagai anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) menjadi pengalaman berharga kepada Mohammad Azidi Abdullah yang dapat merasai keperitan petugas barisan hadapan berdepan pandemik Covid-19 kali ini.

Kakitangan kontrak Jabatan Penyiaran Kelantan di bahagian Berita Wilayah berusia 28 tahun itu sentiasa bersama pelbagai agensi untuk membuat liputan berita tetapi katanya, tugas anggota APM sangat berbeza.

Mohammad Azidi berkata, dia nekad berkhidmat dalam pasukan barisan hadapan itu kerana mahu merasai jerit perih mereka yang mungkin berbeza tugas dengan pengamal media.

Jadual kerja hakiki yang tidak padat membolehkan Azidi meluangkan masa dengan aktiviti bersama APM.
Jadual kerja hakiki yang tidak padat membolehkan Azidi meluangkan masa dengan aktiviti bersama APM.

“Bagaimanapun, cabarannya memang berbeza dan ada dugaannya tapi inilah yang benar-benar berharga pada saya. Disaat orang lain boleh pakai baju biasa, kami semua terpaksa berpanas dalam pakaian khas," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Menurutnya, pengalaman itu tidak boleh dijual beli kerana mereka yang mengharunginya sahaja tahu dan menghargai kehidupan.

Menurutnya, sebelum ini rakan-rakan dalam APM sering kali bercerita bahawa keanggotaan mereka tidak mencukupi terutama apabila ada penambahan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) atau pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Katanya, disebabkan itulah dia mengambil keputusan untuk mencuba nasib bagi membantu meringankan beban mereka yang sedia ada kerana jadual kerja hakikinya juga masih terluang.

Artikel Berkaitan:

“Pada mulanya saya ingatkan tugas ini mudah dan ringan namun besar tanggungjawab kami selain perlu sentiasa bersedia jika ada pertambahan pembukaan PKRC," katanya.

Sebelum memulakan tugas, anggota APM perlu mengenakan pakaian yang bersesuaian bagi mengelakkan jangkitan Covid-19.
Sebelum memulakan tugas, anggota APM perlu mengenakan pakaian yang bersesuaian bagi mengelakkan jangkitan Covid-19.

Mohammad Azidi turut berkongsi setiap anggota bergerak mengikut perancangan bagi menguruskan ratusan katil dan segala kelengkapan berkaitan.

"Untuk tugasan penambahan katil di PKRC, saya perlu mengenakan sut peralatan perlindungan diri (PPE) kerana sudah ada sebahagian pesakit Covid-19 di dalam dewan berkenaan.

“Keadaan ini memang sangat tidak selesa disebabkan keadaan badan yang lencun dengan peluh dan pergerakan juga agak terbatas bagi memastikan kita mengikut syarat yang ditetapkan.

"Untuk tugasan di kawasan PKPD pula, kami akan menghantar makanan kepada penduduk dalam lokaliti itu dan semestinya memerlukan kami mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ketat," katanya.

Penat dan lelah bukan penghalang dalam usaha murninya mencuba dua situasi berbeza dalam tugasan sebagai pasukan barisan hadapan
Penat dan lelah bukan penghalang dalam usaha murninya mencuba dua situasi berbeza dalam tugasan sebagai pasukan barisan hadapan

Menurutnya, walaupun dibayar melalui elaun penugasan namun tiada yang lebih bermakna daripada pengalaman yang diperoleh.

Mohammad Azidi yang mendapat sokongan daripada isteri tersayang, Nur Amalin Abdullah, 30,berkata, penglibatannya dalam sukarelawan itu juga adalah sebagai tanda terima kasih secara peribadi kepada pasukan barisan hadapan yang lain bagi memastikan rakyat Malaysia bebas daripada pandemik berkenaan.