Umat Islam perlu menyelesaikan, bukan tambah masalah

Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad
Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) menyeru ahli-ahlinya agar bersama-sama berperanan dalam membantu menenteramkan keadaan selepas insiden rusuhan yang berlaku di Kuil Sri Mariamman baru-baru ini.

Presidennya, Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad berkata, sekiranya keadaan tidak dikawal dengan baik, akan ada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan untuk mengapi-apikan semangat keagamaan dan perkauman, boleh menggugat keharmonian negara.

“Ikram memahami keresahan yang dirasai oleh umat Islam bahawa kedudukan mereka seolah-olah semakin terancam dengan pelbagai isu melibatkan agama dan kaum.

“Kami berpandangan bahawa Islam akan lebih terpelihara syiarnya, dan orang-orang bukan Islam akan lebih tertarik dengan Islam jika umat Islam menjadi umat yang menyelesaikan, bukan yang menambahkan lagi masalah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Jangan percaya berita provokatif]

[ARTIKEL BERKAITAN: Ambil iktibar peristiwa rusuhan kuil]

Katanya, ahli-ahli Ikram di seluruh negara perlu berperanan secara berkesan dalam membantu menenteramkan keadaan negara hari ini.

“Peranan yang boleh dimainkan oleh ahli-ahli Ikram sama ada di peringkat negeri atau kawasan adalah dengan mengambil langkah proaktif untuk berkomunikasi serta mewujudkan persefahaman dengan pemimpin agama-agama setempat.

Artikel Berkaitan:

“Ini sebagai langkah pencegahan daripada berlakunya isu-isu lanjutan yang boleh membawa kepada ketegangan agama dan kaum,” jelasnya.

Tambah beliau, ahli-ahli Ikram juga diseru untuk bersama-sama menenteramkan keadaan di media sosial seperti Facebook dan Twitter.

“Melalui kata-kata, nasihat dan seruan yang berhikmah serta penyebaran berita yang benar dalam memastikan segala usaha provokasi yang boleh membawa kepada ketegangan kaum dan agama dalam negara ini dapat dielakkan.

“Ini selaras dengan saranan oleh Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri yang menyeru agar semua rakyat menjayakan usaha untuk mengekalkan keamanan dan keharmonian negara selari dengan semangat negara kita tanggungjawab kita,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau berkata Ikram juga menghargai jaminan yang dibuat oleh Perdana Menteri di Parlimen bahawa tindakan tegas mengikut undang-undang akan diambil kepada pihak yang bertanggungjawab.

“Ikram komited untuk bersama-sama dengan masyarakat dalam memelihara dan mempertahankan keharmonian rakyat berbilang kaum dan agama yang telah dibina selama ini ke arah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang rahmah untuk semua,” katanya.