Pas kesal tuduhan Anwar tanpa asas

Idris (empat, kanan) bersama-sama pemimpin Pas Perak dan Kawasan Kampar serta pimpinan Umno Bahagian Kampar ketika hadir program tersebut.
Idris (empat, kanan) bersama-sama pemimpin Pas Perak dan Kawasan Kampar serta pimpinan Umno Bahagian Kampar ketika hadir program tersebut.
A
A
A

BATU GAJAH - Pas kesal dengan kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa parti itu penipu dan merosakkan imej Islam.

Naib Presidennya, Idris Ahmad berkata, sebagai tokoh politik berpengaruh dalam kerajaan, Anwar seharusnya mendapat maklumat yang tepat mengenai tuduhan bahawa Pas menerima wang RM90 juta daripada UMNO.

Beliau berkata, dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan bahawa tiada sebarang transaksi dana RM90 juta disalurkan ke akaun bank rasmi Pas seperti yang didakwa.

"Naif sangatlah kalau bakal perdana menteri kelapan buat kenyataan macam ini, seolah-olah maklumat itu macam dapat daripada cybertroopers PH.

"Sepatutnya awak dah sembilan bulan berkuasa, biarlah kita bercakap ini soal undang-undang, soal perbankan.

"Kita ada Bafia Act, kita ada AMLA, Bank Negara bawah kendalian PH hari ini, peguam negara bawah awak, hakim negara bawah awak semuanya.

"Tak patutlah hujah yang digunakan seperti mana cybertroopers jalanan yang kita tak tahu latar belakang mereka. Kalau itulah pemikiran bakal perdana menteri ke-8 amat sedihlah," katanya kepada media, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemuai selepas hadir ke Majlis Hi-Tea sempena Jelajah Rakyat Sejahtera di Batu 1, di sini.

Artikel Berkaitan:

Kelmarin, Anwar dalam satu sidang media menjelaskan bahawa Pas berbohong berkaitan isu gerakan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad malah menyifatkan tindakan Pas itu mencemarkan imej Islam.

Idris berkata, Anwar tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan tuduhan seperti itu tanpa ada asas.

Katanya, dalam isu liwat yang dikenakan ke atas Anwar, Pas dengan tegas mahu isu itu diselesaikan mengikut kaedah Islam bahawa tidak boleh percaya tohmahan tanpa ada bukti kerana ia mengaibkan.

Dalam perkembangan lain, Idris berkata, Pas meminta kerajaan mengkaji semula cadangan menghapuskan mekanisme kutipan tol sedia ada dengan mengenakan caj kesesakan selama enam jam sehari.

"Tujuan untuk hapuskan tol yang kita marah sangat ini kerana tol itu salah satu penyumbang kepada peningkatan kos sara hidup rakyat hari ini sama ada individu yang kerja berulang alik, sama ada kenderaan barang-barang yang terpaksa bayar, itu yang kita tak setuju.

"Jadi apabila buat pengecualian caj antara 11 malam sehingga 5 pagi, itu tidak capailah matlamat sebenarnya.

"Sepatutnya waktu puncak itu diberikan percuma, kalau itu tujuannya. Kita minta ia dikaji semula, kalau boleh hapus, teruslah... kenapa nak ada pengecualian masa. Nak bagi, bagi betul-betul," katanya.