X

Kindly register in order to view this article
!

Dua pusat pemberian vaksin industri dibuka di Selangor bulan ini

Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A

PUTRAJAYA - Dua pusat pemberian vaksin industri (PPVIN) di bawah Program Vaksinasi untuk Sektor Agrikomoditi (VACOMS), akan dibuka di Selangor bulan ini, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

“Dua PPVIN itu terletak di Ladang Tennamaram di Bestari Jaya dan Pusat Biokomposit dan Gentian (FIDEC) di Olak Lempit, Banting,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Khairuddin berkata, PPVIN di Ladang Tennamaram memfokuskan kepada 6,400 pekerja di sektor perladangan sawit, manakala PPVIN di FIDEC mensasarkan 7,800 pekerja dalam sektor perkayuan.

Beliau berkata, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), menyambut baik keputusan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) semalam, yang telah meluluskan sektor perladangan dan komoditi sebagai sektor ekonomi keempat, yang terlibat dalam program PPVIN.

“Dalam menyokong usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk mempercepatkan pelaksanaan vaksinasi kepada kumpulan barisan hadapan ekonomi, kelulusan yang telah diberikan oleh CITF adalah merupakan perkhabaran malah galakan yang sangat ditunggu-tunggu, oleh industri sektor itu,” katanya.

Beliau berkata, KPPK menghargai penglibatan langsung pemain industri seperti Persatuan Minyak Sawit Malaysia bersama Sime Darby Plantation Bhd, bagi pengoperasian PPVIN di Ladang Tennamaram dan Majlis Kayu Kayan Malaysia bersama Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia, bagi pengoperasian PPVIN di FIDEC.

Beliau berkata, pembukaan PPVIN seterusnya tertakluk kepada pertimbangan serta kelulusan CITF. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!