X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: Tiga kluster baharu diisytihar di Sarawak

Foto 123RF
A
A

KUCHING - Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak hari ini mengisytiharkan tiga lagi kluster baharu masing-masing di Bau, Mukah dan Meradong menjadikan jumlah kluster aktif di negeri ini sebanyak 97.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan, Kluster Jalan Sagang, Bau merupakan kluster komuniti yang dikesan melibatkan beberapa buah keluarga di dua kampung di Jalan Sagang.

“Sejumlah 55 individu telah disaring dengan 29 kes dikesan positif Covid-19 termasuk kes indeks dan 26 lagi didapati negatif,” menurut kenyataan itu.

Sementara kluster Kilometer 85, Mukah merupakan kluster di tempat kerja yang dikesan melibatkan sebuah ladang kelapa sawit di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kilometer 85, Jalan Mukah-Selangau.

Di bawah kluster berkenaan sejumlah 348 individu telah disaring dengan 92 kes dikesan positif Covid-19 termasuk kes indeks, 251 lagi negatif dan lima kes masih menunggu keputusan makmal.

Sementara Kluster Sungai Gamong, Meradong merupakan kluster komuniti yang dikesan melibatkan sebuah rumah panjang di bawah PKPD yang terletak di kawasan Batu 3, Jalan KJD, Sungai Gamong.

“Sejumlah 39 individu telah disaring dengan 13 kes telah dikesan positif Covid-19 termasuk kes indeks, 25 kes didapati negatif dan satu kes masih menunggu keputusan makmal,” menurut JPBN.

Secara keseluruhan, hari ini terdapat 440 kes baharu Covid-19 dicatatkan di Sarawak dengan 277 kes daripadanya dikesan di Serian, Kuching, Song, Sibu dan Mukah selain empat kematian baharu dilaporkan akibat jangkitan wabak itu menjadikan jumlah korban meningkat kepada 417 orang.

JPBN juga memutuskan untuk melaksanakan PKPD di dua lokaliti masing-masing di Saratok, Betong dan Sungai Bayan, Mukah susulan peningkatan kes positif Covid-19 di kawasan terbabit.

Ini termasuk di Rumah Panjang (Rh.) Amban, Sungai Rian, Saratok bermula Sabtu hingga 17 Julai; manakala Rh. Malang anak Bada, Sungai Bayan, Mukah (Ahad hingga 17 Julai); sementara di Rh. Inchang, Skriau Ai, Sri Aman dilanjutkan sehingga 9 Julai. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!