Polis terima 48 laporan dakwaan kenyataan hina Pemangku Raja Pahang

Tengku Hassanal
Tengku Hassanal
A
A
A

KUANTAN - Polis Pahang telah menerima 48 laporan berhubung dakwaan kenyataan menghina Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang dimuat naik di media sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, siasatan dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Bagi kes ini, sebanyak 48 laporan dibuat di negeri ini manakala satu laporan turut dibuat di Melaka dan ia masih dalam siasatan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di sini pada Jumaat yang turut dihadiri Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Senior Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman.

Sejak Ahad, tular di laman sosial tangkap layar hantaran satu akaun Twitter yang memuat naik gambar Tengku Hassanal yang diedit bersama kenyataan jelik sehingga menimbulkan kemarahan netizen.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan pengguna media sosial terutama golongan remaja supaya berhati-hati menggunakan medium berkenaan kerana semua pihak tertakluk kepada undang-undang.

Dalam perkembangan lain, Ramli berkata, tiada halangan atau sekatan untuk penduduk Pahang memasang bendera putih sekiranya mereka memerlukan bantuan.

"Kita tidak ada apa-apa prosedur operasi standard (SOP) dan undang-undang mengekang orang ramai berbuat demikian... apa yang berlaku anggota polis telah nasihatkan mereka untuk turunkan bendera yang dinaikkan di tiang elektrik kerana tidak sesuai," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan pihak yang mendakwa anggota polis meminta penduduk Kuantan menurunkan bendera putih yang dinaikkan di rumah mereka.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Ramli berkata, pihaknya akan turut sama membantu dengan merancang mewujudkan bank makanan di balai-balai polis yang terpilih dalam masa terdekat. - Bernama