X

Kindly register in order to view this article
!

MDEC terus pacu pelaksanaan digital seiring Dasar 4IR Negara

Foto 123RF
A
A

PERBADANAN Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) akan terus memacu pelaksanaan pendigitalan dengan mengutamakan teknologi Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) dalam bidang kemahiran, kesalinghubungan, tadbir urus dan inovasi.

Pengerusinya, Datuk Dr Rais Mohamed Ariff berkata, MDEC menyambut baik pelancaran Dasar 4IR Negara pada Khamis, yang bertujuan mendorong usaha bersepadu dalam mentransformasikan pembangunan sosioekonomi negara menerusi penggunaan teknologi 4IR yang canggih.

“Di pihak MDEC, kami telah mula melaksanakan pelbagai inisiatif terhadap usaha ini, dengan bukti konsep dan projek rintis yang berjaya seperti dalam bidang teknologi pertanian,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Surina Shukri berkata, agensi itu menyokong sepenuhnya dasar tersebut dan akan terus memberi penekanan kepada penggalakan, pembangunan dan pelaksanaan teknologi 4IR dalam semua inisiatifnya.

Inisiatif berkenaan termasuk ‘MyDigitalWorkForce Work In Tech’ (MYWiT) -- program insentif latihan dan pengambilan kerja yang bertujuan meningkatkan sektor perkhidmatan perniagaan digital serta membangunkan tenaga kerja teknologi yang berkualiti dalam negara.

Program itu termasuk Perantis Teknologi Digital, yang mampu meningkatkan kemahiran rakyat Malaysia dalam bidang pekerjaan teknologi yang mendapat permintaan tinggi seperti sains data, pembangunan perisian, keselamatan siber dan lain-lain teknologi baharu seperti Automasi Proses Robotik, kecerdasan buatan dan blockchain. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!