Kilang lepaskan air berwarna diarah tutup

Pegawai JAS melakukan pemeriksaan di kawasan kilang terbabit.
Pegawai JAS melakukan pemeriksaan di kawasan kilang terbabit.
A
A
A

BUTTERWORTH - Sebuah kilang memproses bahan penebat di Perai, di sini diarahkan tutup selepas didapati melepaskan air berwarna dan mencemarkan alam sekitar.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, tindakan itu diambil selepas pihaknya menerima aduan daripada orang awam mengenai pelepasan air dari kilang terbabit.

Menurutnya, kilang berkenaan beroperasi dengan kelulusan dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan dikenakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38(1)(a), Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 ke atas peralatan pemprosesan untuk siasatan dan tindakan lanjut.

"Premis hanya akan dibenarkan beroperasi semula selepas langkah pembaikan yang memuaskan diambil.

"Sebanyak empat kompaun bernilai RM8,000 dikeluarkan di bawah Peraturan 5,6,7 dan 17 Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 telah dikeluarkan,"katanya menerusi satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Sharifah Zakiah berkata, Notis Arahan Seksyen 31 dan 37 dibawah peraturan yang sama dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014 juga telah dikeluarkan untuk premis menyelenggara dan menambahbaik sistem rawatan efluen dan alat kawalan udara.

Katanya, pihak industri yang telah mendapat kebenaran beroperasi adalah dinasihatkan untuk mengamalkan pengeluaran bersih dan sentiasa mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh pihak kerajaan dalam pemeliharaan alam sekitar, disamping mematuhi SOP bagi pencegahan kawalan penyakit berjangkit.

Dalam pada itu, Sharifah Zakiah berkata, Jabatan Alam Sekitar Pulau Pinang akan mengadakan rondaan dan pemeriksaan secara berkala ke kawasan-kawasan industri bagi memastikan industri mematuhi semua peraturan yang ditetapkan.

Artikel Berkaitan: