Kes kematian sebelum tiba di hospital meningkat tujuh kali ganda

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

PUTRAJAYA - Kes kematian sebelum tiba ke hospital (BID) di negara ini meningkat tujuh kali ganda sejak April hingga Jun.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 35 kes BID dilaporkan pada April manakala 246 pada Jun.

"Kebanyakan kes kematian BID membabitkan kumpulan umur 50 tahun sehingga 70 tahun dengan sekurang-kurangnya satu komorbid," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, sehingga 2 Julai, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan 5,327 kes kematian sejak pandemik Covid-19 melanda Malaysia manakala sebanyak 4,856 kes kematian telah dilaporkan pada tahun 2021.

"Daripada jumlah kematian pada tahun 2021, sebanyak 670 kes adalah BID," katanya.

Dr Noor Hisham memberitahu, tiga negeri yang merekodkan kes kematian BID tertinggi tahun ini ialah Selangor iaitu 181 kes diikuti Kuala Lumpur (78) dan Sabah (85).

"Orang ramai perlu cakna dalam memantau kesihatan kendiri terutama apabila disahkan positif dan berada dalam pemantauan di rumah," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, orang ramai perlu menjalani pemeriksaan segera sekiranya bergejala atau merupakan kontak kepada kes yang positif.

Artikel Berkaitan:

"Amalkan kuarantin kendiri di rumah dengan penuh tanggungjawab sementara menunggu keputusan ujian dan panggilan daripada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan Covid-19 Assessment Centre (CAC).

"Maklumkan kepada KKM melalui notifikasi kendiri di aplikasi MySejahtera dan PKD atau CAC berdekatan sekiranya didapati positif sama ada melalui ujian RT-PCR atau RTK-Antigen," katanya.

Beliau turut menasihatkan supaya segera mendapatkan rawatan segera jika terdapat sebarang tanda amaran Covid-19 yang semakin teruk

"Antara 'warning signs' yang memerlukan rawatan segera adalah demam berpanjangan, sukar bernafas, sakit dada, kurang selera makan dan minum dan kelesuan teruk.

"Selain itu berlaku perubahan pada status mental seperti kurang sedar, kekeliruan, batuk, muntah, bibir atau jari menjadi kebiruan dan ketepikan oksigen di bawah 95 peratus," katanya.