Sila log masuk terlebih dahulu.

Cubaan edar rokok seludup RM2.1 juta gagal

Ramli (dua kiri) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian rokok seludup yang dirampas dalam dua kes berasingan di Rompin dan Jerantut.
Ramli (dua kiri) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian rokok seludup yang dirampas dalam dua kes berasingan di Rompin dan Jerantut.
A
A
A

KUANTAN - Polis berjaya menggagalkan dua cubaan pengedaran rokok seludup berikutan penahanan dua lori berisi pelbagai jenis rokok dianggarkan bernilai RM2.1 juta dalam dua kes berasingan di Rompin dan Jerantut.

Turut ditahan pemandu lori berusia 36 dan 40 tahun dalam kejadian pada Khamis dan Jumaat itu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya turut merampas dua lori yang salah satunya dikesan menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Menurutnya, kejayaan tangkapan dan rampasan pada Jumaat dilalukan sepasukan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara yang berjaya memintas sebuah lori mencurigakan di Jalan Muadzam Shah -Bukit Ibam, Rompin.

"Pada kejadian kira-kira jam 4.15 pagi itu, anggota terlibat berjaya menahan lori dipandu lelaki berusia 36 tahun dan hasil pemeriksaan menemui 229 kotak rokok berselindung di sebalik kotak-kotak makanan.

"Rokok yang dianggarkan bernilai lebih RM1.9 juta termasuk nilai cukai itu dipercayai untuk dibawa dan diedarkan ke pasaran Melaka dan Kuala Lumpur," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang pada Jumaat.

Ramli berkata, bekalan rokok tanpa cukai itu dipercayai dibawa masuk dari negara jiran melalui jalan raut sekitar daerah Rompin.

"Suspek bertindak berani apabila menggunakan lori dengan nombor pendaftaran palsu bagi mengelabui pihak berkuasa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu dalam kes berasingan, 47 rokok seludup (3,800 karton) berjaya dirampas susulan penahanan lori dipandu seorang lelaki berusia 40 tahun di sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Jerantut-Temerloh dekat Kampung Temin, Jerantut pada Khamis.

Menurutnya, dalam pemeriksaan yang dilakukan kira-kira jam 5.09 petang itu, pemandu lori mengemukakan surat kebenaran Miti bagi melepasi SJR tersebut.

"Curiga dengan muatan dibawa, anggota terlibat melakukan pemeriksaan dan menemui rokok tersebut yang dianggarkan bernilai RM228,000.

"Hasil siasatan awal mendapati rokok tersebut dibawa untuk diedarkan di negeri-negeri pantai timur," katanya.

Ramli berkata, kedua-dua pemandu kini direman bagi membantu siasatan.