Agong zahir penghargaan kepada kerajaan Jepun atas sumbangan vaksin

Foto Facebook Istana Negara
Foto Facebook Istana Negara
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan Jepun atas sumbangan satu juta dos vaksin AstraZeneca bagi meningkatkan keupayaan proses vaksinasi di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Istana Negara menerusi hantaran di laman Facebook rasmi menyatakan Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dalam menjayakan sumbangan bekalan vaksin itu.

“Menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin turut menyampaikan ucapan terima kasih Seri Paduka Baginda kepada Duta Besar Jepun ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Oka Hiroshi, atas kemurahan hati kerajaan Jepun menyumbang sejuta dos vaksin AstraZeneca kepada Malaysia,” menurut hantaran itu.

Istana Negara turut menyatakan sumbangan itu jelas membuktikan persahabatan dan hubungan baik yang terjalin sejak sekian lama antara kerajaan dan rakyat kedua-dua negara dan semoga bekalan vaksin ini membantu Malaysia memerangi pandemik Covid-19 dan memperhebatkan lagi PICK.

Seri Paduka Baginda turut menyeru rakyat bersama-sama mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindungan ALLAH SWT, dijauhi daripada sebarang musibah dan pandemik Covid-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera.

Pada Khamis, sejuta dos vaksin Covid-19 keluaran AstraZeneca sumbangan kerajaan Jepun tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menerusi penerbangan Japan Airline JAL723 (Boeing 787).

Ketibaan bekalan itu menjadikan jumlah vaksin keluaran AstraZeneca yang diterima oleh Malaysia adalah sebanyak 1,828,000 dos setakat 1 Julai. - Bernama

Artikel Berkaitan: