X

Kindly register in order to view this article
!

Polis kawal ketat kawasan PKPD di KL

Azmi Abu Kassim
A
A

KUALA LUMPUR - Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 14 lokaliti sekitar Kuala Lumpur, menggunakan kaedah sama seperti PKPD sebelum ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, penguatkuasaan di kawasan PKPD sekitar Kuala Lumpur akan menggunakan pemasangan kawat duri dan penghadang jalan.

"Kita memohon kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk membantu memasang pagar kawat duri di 14 kawasan yang dikenakan PKPD.

"Ia kerana kawasan yang dikenakan PKPD di Kuala Lumpur ini adalah kecil berbanding di Selangor yang mempunyai kawasan kawalan yang besar di tempat-tempat yang dilaksanakan PKPD bermula tengah malam ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Azmi berkata, jika kawat duri tidak mencukupi, pihaknya akan menggunakan penghadang jalan di lokaliti berkenaan.

"Kita turut menempatkan pegawai dan anggota di lokasi-lokasi tertentu bagi memantau sebarang pergerakan tanpa kebenaran oleh penduduk di lokaliti yang dikenakan PKPD," katanya.

Azmi memaklumkan pelaksanaan sekatan jalan raya (SJR) di sekitar Kuala Lumpur adalah kekal sama seperti sebelum ini iaitu melalui kaedah SJR kekal dan SJR bergerak di tempat-tempat yang dirasakan perlu.

Lokaliti di Kuala Lumpur yang dikenakan PKPD adalah membabitkan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Semarak, PPR Batu Muda, Flat Seksyen 2 Wangsa Maju, Flat Seksyen 1 Wangsa Maju, Kampung Padang Balang, Taman Koperasi Polis (Fasa 1 & 2), Flat Sri Sabah, Kampung Puah, PPR Kampung Baru Air Panas, Flat Desa Pandan (termasuk Baiduri & Delima), Kampung Batu Muda, PPR Kerinci, Bandar Baru Sentul dan Jalan Ikan Emas.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!