PKPD: Pergerakan tujuan vaksinasi, kecemasan dibenarkan

Acryl Sani
Acryl Sani
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia membenarkan pergerakan seramai tiga orang (termasuk pemandu) untuk urusan perubatan vaksinasi bagi penduduk di lokaliti dikenakan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, penduduk di lokaliti-lokaliti PKPD hanya perlu menunjukkan janji temu di aplikasi MySejahtera, laman web, kad janji temu atau mesej pesanan ringkas (SMS) kepada petugas di lapangan.

"Bagi kes-kes kecemasan seperti sakit dan kematian, kebenaran pergerakan akan diberikan secara 'case to case basis'," katanya melalui kenyataan pada Jumaat.

Acryl Sani menasihati orang ramai agar terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Kita bersama memainkan peranan dalam usaha kerajaan bagi melandaikan lengkuk penularan wabak Covid-19," katanya.

Lokaliti di Kuala Lumpur yang dikenakan PKPD adalah membabitkan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Semarak, PPR Batu Muda, Flet Seksyen 2 Wangsa Maju, Flet Seksyen 1 Wangsa Maju, Kampung Padang Balang, Taman Koperasi Polis (Fasa 1 & 2).

Flat Sri Sabah, Kampung Puah, PPR Kampung Baru Air Panas, Flet Desa Pandan (termasuk Baiduri & Delima), Kampung Batu Muda, PPR Kerinci, Bandar Baru Sentul dan Jalan Ikan Emas.

PKPD di Selangor membabitkan 34 daripada 57 mukim di lapan daripada sembilan daerah iaitu daerah Petaling, Hulu Langat, Sepang, Gombak, Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor, dan Hulu Selangor.

Artikel Berkaitan:

Mukim berkenaan adalah Petaling, Damansara, Sungai Buloh, Bukit Raja (daerah Petaling); Hulu Langat, Ampang, Cheras, Kajang, Semenyih, Beranang, (daerah Hulu Langat); Dengkil; Batu, Rawang, Setapak, Hulu Kelang, Kuang (daerah Gombak).

Tanjung 12 (1), Tanjung 12 (2), Teluk Panglima Garang, Morib, Bandar Jugra, Batu (Daerah Kuala Langat); Kapar, Klang (daerah Klang); Ijok, Bestari Jaya, Jeram (daerah Kuala Selangor) dan Serendah, Rasa, Ulu Yam, Batang Kali (daerah Hulu Selangor).