PAC panggil ahlinya kembali bersidang pada 26 Julai

Wong Kah Woh
Wong Kah Woh
A
A
A

SHAH ALAM - Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan memanggil ahlinya untuk kembali bersidang pada 26 Julai ini.

Pengerusinya, Wong Kah Woh berkata, ia sejajar dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 28 Jun lalu yang mahu Jawatankuasa-jawatankuasa Pilihan Parlimen bersidang bagi menjalankan fungsi sebagai mekanisme semak dan imbang terhadap kerajaan.

Menurutnya, surat pemakluman tarikh mesyuarat PAC Parlimen sudah dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun pada Jumaat.

"Mesyuarat ini akan diadakan secara fizikal membabitkan semua ahli-ahli PAC serta ahli-ahli 'ex officio' jawatankuasa ini bagi membincangkan mengenai jadual mesyuarat PAC akan datang terutama sekali membabitkan kes-kes yang tertangguh sebelum ini serta mengemas kini jadual mesyuarat.

"Bagaimanapun, jawatankuasa ini terbuka untuk mengadakan mesyuarat ini secara hibrid sekiranya tidak melanggar mana-mana Peraturan Mesyuarat Majlis-majlis Dewan Rakyat," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Pada Jumaat, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Takiyuddin Hassan mengesahkan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin akan memanggil sidang Parlimen secepat mungkin sebelum 1 Ogos bagi menjunjung titah Seri Paduka Baginda.

Katanya, perkara itu akan dimuktamadkan Kabinet dalam mesyuarat 7 Julai ini.

Artikel Berkaitan: