Konflik di Venezuela ragut dua nyawa

Penunjuk perasaan Venezuela menolak sebuah bas yang dibakar ketika protes di bandar Urena, Tachira, selepas Presiden Maduro umum penutupan sementara sempadan dengan Colombia.- Foto AFP
Penunjuk perasaan Venezuela menolak sebuah bas yang dibakar ketika protes di bandar Urena, Tachira, selepas Presiden Maduro umum penutupan sementara sempadan dengan Colombia.- Foto AFP
A
A
A

CARACAS - VENEZUELA. Pemimpin pembangkang Venezuela, Juan Guaido menggesa pihak antarabangsa untuk mempertimbangkan segala langkah perlu bagi menggulingkan Presiden Nicolas Maduro.

Tekanan antarabangsa semakin memuncak terhadap Maduro selepas beliau menyekat usaha membawa masuk bantuan kemanusiaan yang disalurkan Amerika Syarikat (AS) ke negara Amerika Selatan itu dengan cara menutup sempadan negaranya dengan negara jiran terdekat seperti Brazil dan Colombia.

Dalam pada itu, sekurang-kurangnya dua orang maut termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia 14 tahun, sementara lebih 300 yang lain cedera dalam pertempuran antara orang awam dan anggota tentera yang setia kepada Maduro.

Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo mengutuk tindakan ganas oleh 'samseng' Maduro dan menegaskan AS bersedia untuk mengambil sebarang tindakan, termasuk langkah ketenteraan.

Ia bertujuan menyatakan sokongan terhadap Guaido yang mengisytiharkan dirinya sebagai pemangku presiden bulan lalu dan sehingga kini menerima sokongan hampir 50 buah negara.

Terdahulu, Guaido yang juga pemimpin Himpunan Kebangsaan mengetuai misi aman sukarelawan bagi mengumpul dan memindahkan bantuan dari Brazil dan Colombia, namun usaha tersebut mencetuskan pertempuran ganas antara pasukan tentera Venezuela yang melepaskan peluru hidup dan peluru getah ke arah penduduk awam yang cuba merempuh sempadan bagi mendapatkan bantuan tersebut. - BBC

Artikel Berkaitan: