SKMM atasi masalah capaian internet di dua kampung di NS, Sarawak

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menyelesaikan masalah capaian Internet di Kampung Malan, Dangi di Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan Kampung Sawai, Matu di Sarawak.

SKMM dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, sebagai langkah penyelesaian jangka pendek, rundingan telah diadakan dengan pihak penyedia perkhidmatan bagi menimbang penyediaan infrastruktur komunikasi seperti Portable Bases Transmitter Station (PBTS) di Kampung Malan dalam masa terdekat.

Menurut suruhanjaya itu, sebagai penyelesaian jangka panjang pula, permohonan telah dimajukan bagi pembinaan menara komunikasi baharu di lokasi aduan dalam perancangan Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) fasa akan datang.

“Dalam hal ini, pihak Telekom Malaysia (TM) telah memberi komitmen untuk menyegerakan penyediaan talian tetap yang dijangka siap pada 31 Dis 2021, berbanding perancangan asal pada Februari 2022.

“Bagi pihak Digi pula, mereka memberi komitmen untuk menaik taraf liputan 4G yang disasarkan pada awal Ogos 2021 di menara yang terdekat,” katanya.

Di Kampung Sawai pula, SKMM berkata, sebuah menara komunikasi dirancang dibina di kawasan Muara Sawai, Matu di bawah Jendela Fasa 1.

“Pembinaan menara tersebut melengkapi menara komunikasi sedia ada yang telah beroperasi, meliputi sembilan menara komunikasi komersial serta tujuh menara komunikasi yang telah dibina di bawah program Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS) kelolaan SKMM di daerah Matu,” katanya.

Selain itu, sebanyak 20 stesen pemancar komunikasi sedia ada di daerah Matu kini dalam proses naik taraf kepada perkhidmatan 4G yang dijangka selesai menjelang penghujung tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Bagi perancangan jangka panjang di bawah pelan Jendela Fasa 1 pula, SKMM berkata, sembilan menara komunikasi baharu secara keseluruhan telah dirancang untuk dibina di sekitar daerah Matu termasuk satu di kawasan Muara Sawai.

“Pembinaan kesemua menara komunikasi berkenaan dijangka bermula pada suku ketiga 2021 setelah proses penilaian tender dimuktamadkan oleh MCMC.

“Selain itu, perkhidmatan jalur lebar mudah alih melalui satelit juga telah dikenal pasti bagi kawasan Muara Sawai dan kerja-kerja pembinaan dijangka bermula pada suku ketiga 2021,” katanya.

SKMM berkata, ia akan terus menjalankan pemantauan terhadap tindakan-tindakan yang telah diambil dan sekiranya perlu, mengambil langkah susulan agar masalah capaian internet di seluruh negara dapat ditangani dengan menyeluruh sekali gus membolehkan Internet dinikmati oleh semua rakyat. -Bernama