AIM tangguh bayar balik pinjaman

Lajim Ukin
Lajim Ukin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) mengumumkan lanjutan penangguhan bayaran balik pinjaman membabitkan 378,507 peminjam di seluruh negara selama sebulan sehingga akhir bulan ini.

Pengerusi AIM, Datuk Seri Lajim Ukin berkata, langkah itu dibuat berikutan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang diumumkan kerajaan bagi memutuskan rantaian virus Covid -19.

Beliau berkata, berikutan penangguhan terbaharu itu, peminjam atau Sahabat AIM menikmati pengecualian bayaran selama dua bulan disebabkan pelaksanaan PKP 3.0 yang bermula pada 1 Jun lalu.

"Selain itu, semua Mesyuarat Pusat (MP), Perjumpaan Pusat Khas (PPK) dan Kutipan bagi Skim Pembiayaan Ikhtiar, Simpanan Tabung Kumpulan, Tabung Kebajikan dan Kesejahteraan Sahabat (TKKS) dan Tabung Khairat Hutang juga ditangguh sehingga 31 Julai," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, AIM juga memutuskan untuk menangguhkan Pembentangan Permohonan bagi Skim Pembiayaan Ikhtiar, Pengeluaran Tabung Kumpulan, Tuntutan Tabung Khairat Hutang, Penjadulan Semula Pembiayaan dan juga pembentangan untuk Tangguh Bayar Ballik Pinjaman.

"Bagaimanapun, Kutipan Balik bayaran SPI melalui kaedah bukan tunai (e-pay) adalah dibenarkan," katanya.

AIM sebelum ini telah memberi penangguhan bayaran balik selama 16 minggu secara automatik kepada semua sahabat AIM ketika PKP 1.0 dilaksanakan.

“Ia diikuti dengan penangguhan bersasar sehingga Oktober 2020 membabitkan seramai 12,568 peminjam dan untuk mereka yang layak dan benar-benar terkesan penangguhan masih lagi diteruskan sehingga ke hari ini,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, bagi memastikan kebajikan Sahabat dibela, AIM juga memberi bantuan bekalan makanan asas yang telah memberi manfaat kepada 20,700 keluarga Sahabat menerusi Program Bakul Kasih AIM.

"AIM sesungguhnya amat prihatin dengan keperitan dan kesusahan yang dialami oleh Sahabat.

"Justeru banyak Program Pemasaran Produk Sahabat Secara Atas Talian sedang dilaksanakan bagi membantu Sahabat menjangkau pasaran yang lebih luas dan dapat berniaga tanpa melanggar SOP ditetapkan kerajaan," katanya.

Jelas beliau lagi, AIM juga sedang berusaha untuk membantu merangka pelan pemulihan pendapatan Sahabat supaya Sahabat dapat bangkit semula daripada situasi sukar sepanjang PKP dilaksanakan.