Lelaki tidak mengaku buat komunikasi jelik tentang darurat

Aman (tengah) hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat, atas pertuduhan memulakan penghantaran komunikasi jelik berhubung perlaksanaan darurat, menerusi aplikasi Facebooknya, Januari lalu.
Aman (tengah) hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat, atas pertuduhan memulakan penghantaran komunikasi jelik berhubung perlaksanaan darurat, menerusi aplikasi Facebooknya, Januari lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang bapa lima anak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas pertuduhan memulakan penghantaran komunikasi jelik berhubung perlaksanaan darurat menerusi aplikasi Facebooknya, Januari lalu.

Wan Mohd Aman Wan Mohd Ishak, 40, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Mahyon Talib.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran dengan menggunakan perkhidmatan komunikasi yang jelik sifatnya, dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Ia dilakukan melalui perkhidmatan aplikasi Facebook menggunakan profil Aman Muhammad.

Antara kenyataan yang dibuat ialah mengaitkan isu darurat dan Kerajaan Perikatan Nasional.

Kesalahan dilakukan pada jam 10.59 pagi, 12 Januari lalu dan dibaca pada jam 4.12 petang hari sama di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Menara KPK, di sini.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] dan boleh dihukum dibawah Seksyen 233(3) Akta sama.

Ia memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hati kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Artikel Berkaitan:

Timbalan Pendakwa Raya, Zulaikha Mohd Appandi mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam, Mohd Yusoff Yakob yang mewakili tertuduh merayu anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar minima dengan alasan perlu menanggung isteri dan lima anak berusia dua hingga 12 tahun.

"Ekoran perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), anak guam saya tidak bekerja. Sepanjang siasatan dijalankan dia tinggal di Kelantan dan memberikan kerjasama yang baik kepada pihak berkuasa," katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Mahyon membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000.

Mahkamah menetapkan 3 Ogos depan untuk sebutan semula kes.