X

Kindly register in order to view this article
!

Kerajaan terima RM1.8 bilion bayaran pertama 1MDB

Tengku Zafrul
A
A

KUALA LUMPUR- Kerajaan telah menerima bayaran pertama daripada AMMB Holdings Berhad sebanyak RM1.8 bilion yang telah didepositkan ke dalam Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset (Assets Recovery Trust Account).

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, wang tersebut adalah sebahagian daripada penyelesaian berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurut beliau, baki bayaran penyelesaian sebanyak RM1.03 bilion lagi akan dilunaskan oleh AMMB Holdings Berhad pada Disember 2021 dan Julai 2022, masing-masing sebanyak RM515 juta.

"Sehingga kini, Akaun Amanah berkenaan di bawah seliaan Jabatan Akauntan Negara telah menerima sebanyak RM18.176 bilion dana yang disita dan dipulangkan berkaitan 1MDB.

"Dana tersebut telah dan akan digunakan untuk melunaskan baki hutang 1MDB dan SRC," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tengku Zafrul berkata, setakat ini, kerajaan telah melunaskan sebanyak RM12.54 bilion hutang 1MDB dan RM3.8 bilion hutang SRC.

Setakat 30 Jun 2021, baki hutang merangkumi prinsipal dan kupon/ keuntungan/ faedah bagi bon, sukuk dan pinjaman berjangka adalah sebanyak RM39.66 bilion (1MDB) dan RM1.85 bilion (SRC).

Namun, jelasnya, baki semasa Akaun Amanah hanya cukup untuk melunaskan prinsipal dan faedah hutang 1MDB untuk tahun 2021 dan 2022 sahaja.

Tambahnya, setelah semua dana Akaun Amanah digunakan, kerajaan masih perlu menanggung obligasi bayaran baki hutang 1MDB memandangkan hutang tersebut adalah disokong oleh kerajaan melalui Jaminan Kerajaan (Government Guarantee) dan Surat Sokongan (Letter of Support) semasa hutang-hutang ini diterbitkan.

Bagaimanapun, ujarnya, Kementerian Kewangan akan sentiasa memastikan peruntukan yang secukupnya bagi menyelesaikan hutang 1MDB dan SRC, untuk menguruskan beban kewangan skandal 1MDB dan SRC.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!