Hanya sektor perkhidmatan perlu dibenar beroperasi: MSOSH

Dr Shawaludin
Dr Shawaludin
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan digesa supaya memastikan hanya sektor perkhidmatan perlu sahaja yang dibenarkan beroperasi ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Selangor dan Kuala Lumpur.

Presiden Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH), Dr Shawaludin Husin berkata, penggunaan terma ‘perkhidmatan perlu’ yang terlalu luas menyebabkan trend jangkitan masih tidak menurun meskipun selepas pelaksanaan PKP yang lebih ketat sebelum ini.

“Adalah diingatkan pada fasa ini, sangat penting untuk memastikan hanya perkhidmatan perlu yang diberikan kebenaran untuk beroperasi.

“Pihak kerajaan tidak seharusnya tunduk dengan desakan para majikan, termasuk operator kilang atau pengurus tapak bina sekiranya terdapat permohonan untuk membuka perniagaan mereka secara fizikal sepanjang tempoh 14 hari PKPD ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Pada Khamis, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD selama dua minggu bermula 3 Julai ini di sebahagian besar mukim di Selangor dan Kuala Lumpur bagi menurunkan kes Covid-19.

ARTIKEL BERKAITAN: Selangor, KL kena PKPD selama 14 hari

Artikel Berkaitan:

Dr Shawaludin berkata, pihaknya berpandangan langkah diambil kerajaan itu sememangnya wajar dilakukan malah ia sepatutnya perlu dilakukan lebih awal kerana terdapat banyak kluster pekerjaan di negeri tersebut selain penularan yang sudah berada di dalam komuniti.

Mengulas lanjut, beliau menggesa kerajaan supaya memandang serius keadaan kritikal sektor kesihatan awam negara yang berisiko untuk lumpuh sekiranya kes Covid-19 di Selangor dan Kuala Lumpur tidak menunjukkan tanda penurunan.

Katanya, maklum balas yang diterima MSOSH mendapati, peningkatan kes di dua negeri itu sejak sebulan lepas telah menyebabkan pekerja di sektor kesihatan awam berada di dalam keadaan 'burnout'.

“Oleh itu, pelaksanaan PKPD ini adalah sangat kritikal. Ia tidak boleh ‘bocor’ lagi dengan terdapatnya sektor yang tidak penting terus beroperasi.

“Kerajaan bertanggungjawab untuk memastikan hal ini dapat diuruskan dengan baik, termasuk dalam hal berkaitan pemantauan dan penguatkuasaan.

“MSOSH juga berpandangan pengurusan sumber penguatkuasaan perlu diperkemaskan, pihak penguat kuasa perlu ditempatkan di kawasan kilang yang beroperasi selain pasar raya yang akan menjadi tumpuan ramai, tidak hanya sekadar di sekatan jalan raya,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan juga diseru agar mempercepat dan meningkatakn kadar vaksinasi secara optimum sepanjang tempoh pelaksanaan PKPD di Selangor dan Kuala Lumpur.

Difahamkan, kadar harian vaksinasi akan mencapai 200,000 sehari di seluruh negara pada bulan ini dengan rakyat Selangor akan memperoleh 130,000 suntikan sehari.

“Ini adalah peluang terbaik untuk kerajaan fokus dalam pemberian vaksin kepada negeri yang berkepadatan tinggi ini.

“Menurut statistik Perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, sejumlah dua juta atau 100 peratus penduduk di Kuala Lumpur telah mendaftarkan diri mereka untuk divaksinasi dan 85 peratus daripada enam juta penduduk Selangor juga sudah berbuat demikian.

“Sekiranya kedua-dua negeri ini dapat mencapai imuniti kelompok dengan kadar segera, kesan lebih buruk ekonomi dan dan sosioekonomi kepada negara dan rakyat dapat dielakkan, sekali gus melegakan sektor kesihatan kita,” jelasnya.