Syarikat bas persiaran jadikan bas pusat pengumpulan makanan

Bas ini dijadikan pusat pengumpulan makanan yang akan beroperasi di Taman Budiman, Alor Setar sehingga 31 Julai bermula jam 9 pagi sehingga 7 petang setiap hari.
Bas ini dijadikan pusat pengumpulan makanan yang akan beroperasi di Taman Budiman, Alor Setar sehingga 31 Julai bermula jam 9 pagi sehingga 7 petang setiap hari.
A
A
A

ALOR SETAR - Sebuah syarikat bas persiaran mengambil inisiatif mewujudkan pusat pengumpulan makanan dengan menggunakan sebuah bas bagi membantu orang ramai yang terputus bekalan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Taman Budiman, dekat sini.

Pengarah Urusan Bintong Express&Holidays, Zambri Mat berkata, pada waktu sama, bas tersebut juga menjadi tempat pengumpulan barang sumbangan oleh mana-mana pihak untuk sama-sama membantu mereka yang memerlukan.

Menurutnya, usaha tersebut digerakkan selepas melihat semakin ramai rakyat terputus pendapatan dan bekalan makanan terutamanya pada PKP 3.0.

"Kita mahu memupuk kerjasama semua pihak untuk sama-sama membantu mereka yang memerlukan. Mereka yang mahu menyumbang boleh hantar sumbangan terus ke sini dan mereka yang terputus bekalan makanan boleh terus datang ke 'bas food bank' ini.

"Saya tidak menyangka pada pagi ini sahaja lebih 50 individu hadir menyumbangkan bekalan makanan manakala lebih 200 individu lagi yang terputus bekalan makanan datang mengambil sumbangan," katanya pada hari pertama operasi pusat pengumpulan tersebut selepas ditemui di Taman Budiman pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Zambri yang juga Ahli Majlis Bandaraya Alor Setar berkata, pihaknya juga bersedia menyediakan bas kepada mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) yang mahu mengadakan program sama di sekitar daerah Alor Setar.

Zambri berada di dalam bas food bank yang dijadikan sebagai pusat pengumpulan makanan di Taman Budiman, Alor Setar.
Zambri berada di dalam bas food bank yang dijadikan sebagai pusat pengumpulan makanan di Taman Budiman, Alor Setar.

Dalam masa sama, beliau turut mengajak pihak yang berkemampuan untuk sama-sama membantu meringankan beban mereka yang terjejas terutamanya sepanjang pelaksanaan PKP 3.0.

Artikel Berkaitan:

"PKP ini telah berlangsung sejak tahun lalu dan sehingga sekarang mana-mana yang mempunyai simpanan sudah habis digunakan. Bagi yang bekerja sendiri dan mempunyai tanggungan ramai lagi perit kerana tidak boleh bekerja semasa PKP 3.0 ini," ujarnya.

Beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Alor Setar berkata, pusat pengumpulan itu akan dibuka bermula jam 9 pagi sehingga 7 petang setiap hari.

"Bas food bank ini akan beroperasi di Taman Budiman sehingga 31 Julai. Kami yakin ramai penyumbang yang akan datang menyumbang bekalan makanan di sini.

"Cuma saya minta yang datang mengambil sumbangan agar mengambil barang yang diperlukan sahaja. Kita mahu agar lebih ramai yang memerlukan dapat manfaat daripada usaha ini," ujarnya.

Sementara itu, seorang penerima, Saadiah Bakar, 51, yang bekerja di sektor pembersihan berkata, dia hilang pendapatan sejak pelaksanaan PKP 3.0 dan mengakui lega dengan usaha pengurusan syarikat pesiaran tersebut.

"Saya ambil alih sebagai pencari nafkah keluarga selepas suami jatuh sakit sejak tiga tahun lalu tapi bila PKP 3.0, tidak dapat pergi kerja.

"Memang saya terputus pendapatan, syukur ada sumbangan seperti ini," katanya.