15 keluarga kibar kain putih, menangis terima bantuan

Arul Kumar meletakkan barangan keperluan di luar pintu rumah penduduk yang mengibarkan bendera putih.
Arul Kumar meletakkan barangan keperluan di luar pintu rumah penduduk yang mengibarkan bendera putih.
A
A
A

NILAI - Sebanyak 15 keluarga di kawasan Nilai terpaksa memilih jalan akhir untuk mendapatkan bantuan dengan cara mengibarkan kain putih di hadapan rumah mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai, J Arul Kumar berkata, 11 daripada mereka dilihat mengibarkan bendera pada Khamis manakala setakat jam 12 tengah hari pada Jumaat seramai empat keluarga.

"Saya telah pun pergi menghantar bantuan kepada mereka dan kebanyakannya menghadapi keadaan sukar selepas hilang pekerjaan.

"Ada juga yang tiada sumber pendapatan selepas perniagaan kecil-kecilan yang dijalankan terjejas susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kebanyakan daripada mereka adalah penyewa," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, turut menyentuh perasaan apabila kehadirannya menghantar barangan keperluan ke rumah keluarga terlibat disambut dengan tangisan.

Tambah beliau, keadaan keluarga itu sangat terdesak kerana sanggup membuang perasaan malu menaikkan bendera putih di hadapan rumah.

"Mereka beritahu saya yang bantuan makanan diterima sudah mencukupi buat masa ini.

"Apa yang mereka harapkan ialah pekerjaan supaya ada sumber pendapatan untuk menyara keluarga dan saya akan cuba usahakan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Arul berkata, walaupun kerajaan mengumumkan moratorium tetapi mereka tetap perlu menjelaskan bayaran sewa rumah setiap bulan.

Bagaimanapun beliau tidak menggalakkan kempen menaikkan bendera putih tetapi bantuan akan disampaikan segera jika ada maklumat.

"Saya faham apabila ada yang naikkan bendera putih sudah tentu itu jalan terakhir yang mereka ada untuk dapatkan bantuan.

"Saya tiada masalah mengenainya dan saya sendiri ada menguar-uarkan di Facebook jika ada sesiapa yang nampak bendera putih di kawasan kejiranan mereka sila maklumkan kepada saya," katanya.