PKPD Selangor: Orang ramai bersesak di pasar raya

Kelihatan orang ramai mencari barang basah di pasar raya.
Kelihatan orang ramai mencari barang basah di pasar raya.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Orang ramai mula bersesak memenuhi sebuah pasar raya di sini berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan bermula tengah malam Sabtu.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, rata-rata mereka mula berpusu-pusu masuk ke dalam pasar raya itu sejak dibuka pada jam 8 pagi.

Seorang penduduk, Haireezan Kamaruszamam, 32, berkata, dia dan isterinya, Nor Shahiza Mejan, 30, tiba lebih awal ke pasar raya itu kerana tidak mahu bersesak dengan orang ramai.

Bagaimanapun, katanya, sebaik tiba di pasar raya itu dia mendapati jumlah pengunjung lebih ramai berbanding biasa.

"Saya ingatkan pelanggan tidaklah ramai pada waktu pagi, tapi sebaik sampai mendapati orang ramai sudah bersesak membeli barangan keperluan," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Haireezan yang menetap di Kampung Batu 8 Ijok berkata, dia yang kebetulan bercuti pada Jumaat mengambil peluang membeli keperluan untuk tempoh dua minggu sebagai persediaan.

"Risau juga kalau stok barang keperluan di rumah tidak cukup, lebih-lebih lagi ini kali pertama pelaksanaan PKPD di Kuala Selangor," katanya.

Seorang penduduk di Taman Bayu Alam, Ishak Hashim, 58, berkata, seorang anaknya menghubunginya pada malam Khamis memaklumkan kawasan kediamannya termasuk dalam kawasan PKPD.

Artikel Berkaitan:

"Saya ambil kesempatan beli barangan dapur dan sejak semalam isteri sudah senaraikan barangan apa yang hendak dibeli.

"Saya dapati minyak masak paket misalnya sudah habis dan keadaan ini mungkin disebabkan permintaannya yang tinggi," katanya.

Seorang pelanggan, Faridah Ishak, 27, berkata, dia yang kebetulan menghantar ibunya ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Kuala Selangor singgah ke pasar raya itu untuk membeli barangan keperluan.

Katanya, mereka sekeluarga mengambil keputusan untuk membeli stok barangan keperluan kerana tidak mahu keluar sepanjang tempoh arahan itu bagi mengelakkan jangkitan virus Covid-19.

"Esok (Sabtu) sudah dikuatkuasakan PKPD, jadi kami hendak kurangkan pergerakan dan mematuhi arahan kerajaan," katanya.

Sementara itu pekerja di pasar raya itu yang enggan namanya didedahkan berkata, pasar raya itu mula dipenuhi orang ramai sejak dibuka pada jam 8 pagi.

Katanya, setiap pelanggan akan diberi kad giliran dan hanya dibenar untuk membeli barangan keperluan selama 30 minit.

"Kira-kira 200 pelanggan sahaja dibenarkan masuk dan ada petugas tunggu di pintu masuk mengedarkan kad angka giliran kepada pengunjung untuk membeli belah.

"Saya dapati jumlah pelanggan pada hari ini dua atau tiga kali ganda lebih ramai berbanding kebiasaannya," katanya.