Suhu panas di Antartika 18.3 darjah Celsius

WMO telah mengesahkan suhu baharu untuk benua Antartika adalah 18.3 darjah Celsius pada 6 Februari 2020. Foto 123RF
WMO telah mengesahkan suhu baharu untuk benua Antartika adalah 18.3 darjah Celsius pada 6 Februari 2020. Foto 123RF
A
A
A

NEW YORK - Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada Khamis mengesahkan suhu maksimum baharu di Antartika ialah 18.3 darjah Celsius (64.9 darjah Fahrenheit).

"WMO telah mengesahkan suhu baharu untuk benua Antartika adalah 18.3 darjah Celsius pada 6 Februari 2020, di stesen Esperanza (Argentina)," lapor Agensi Berita Sputnik.

Setiausaha Agung WMO, Petteri Taalas berkata, adalah mustahak untuk mengesahkan suhu tinggi yang direkodkan bagi Semenanjung Antartika, antara kawasan pemanasan paling pantas - hampir 3 darjah Celsius dalam tempoh 50 tahun.

"Suhu baharu ini seiring dengan perubahan iklim yang sedang kita alami," kata Taalas dalam satu kenyataan.

Rekod sebelum ini yang disahkan WMO ialah 17.5 darjah Celsius (63.5 darjah Fahrenheit) yang direkodkan pada 24 Mac 2015.

Kenyataan itu sekali gus menolak catatan suhu sebelum ini iaitu 20.7 darjah Celsius (69.3 darjah Fahrenheit) yang dilaporkan pada 9 Februari 2020 di Pulau Seymour.

Arkib Cuaca dan Iklim Ekstrem WMO, yang meninjau keadaan cuaca di Semenanjung Antartika pada masa kedua-dua catatan tersebut, mendapati tekanan angin yang rendah telah menghasilkan pemanasan ketara di permukaan, mengakibatkan pemanasan di Stesen Esperanza dan Pulau Seymour. - Bernama

Artikel Berkaitan: