Satu keluarga kena Covid-19 jangkiti penduduk kampung

Seramai 900 penduduk Kampung Kubang Jela, Manir, Kuala Terengganu masih menunggu keputusan ujian saringan Covid-19. FOTO: Ihsan Facebook Dr Nor Azimi
Seramai 900 penduduk Kampung Kubang Jela, Manir, Kuala Terengganu masih menunggu keputusan ujian saringan Covid-19. FOTO: Ihsan Facebook Dr Nor Azimi
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Angka jangkitan baharu Covid-19 di Terengganu kini meningkat sekali ganda berbanding Rabu ekoran peningkatan kes daripada Kluster Kubang Jela yang berpunca penularan daripada sebuah keluarga.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Nor Azimi Yunus berkata, sebanyak 23 kes positif baharu direkodkan daripada kluster berkenaan pada Khamis menjadikan keseluruhan 50 kes dikesan di seluruh negeri dalam tempoh yang sama.

"Kes indeks bagi kluster berkenaan menjangkiti ahli keluarga sendiri sebelum enam keluarga lain dijangkiti.

"Dari situ, virus berkenaan akhirnya menjangkiti enam jemaah surau dan jiran serta rakan anak yang bermalam di rumah.

"Selain itu, ia turut menjangkiti lima rakan yang bermain sepak takraw serta dua rakan yang berbasikal," katanya dalam satu kenyataan di laman Facebooknya malam Khamis.

Untuk rekod, Kampung Kubang Jela, Manir, di sini telah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama dua minggu bermula 1 hingga 14 Julai 2021.

Menurut Dr Nor Azimi, saringan bersasar (ACD) turut dilaksanakan di kampung berkenaan melibatkan seramai 988 penduduk.

"Hanya 88 disahkan negatif. Selebihnya masih menunggu keputusan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan supaya pematuhan SOP diamalkan bagi mengelak berlakunya jangkitan baharu.

"Tindakan segelintir daripada kita yang tidak mematuhi SOP mengakibatkan sebuah kampung terpalit sama. Kisah jangkitan berpunca daripada tindakan yang sama dan telah diulang banyak kali.

"Begitu juga dengan kes baharu di Dungun dan Kemaman, semua kes positif merupakan kontak rapat kluster di Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuantan, melibatkan peraih ikan dan lain-lain di mana rantaian jangkitan juga masih panjang," katanya.

Terengganu mencatatkan penurunan kes Covid-19 melibatkan angka dua digit sejak 11 Jun lalu di mana Rabu lalu sebanyak 20 kes baharu direkodkan, 220 kes sedang dirawat serta 76 kematian.