Pemulih dijangka beri impak kepada fiskal negara

Krisis Covid-19 memberikan tamparan hebat terhadap tahap pendapatan rakyat Malaysia. Foto Bernama
Krisis Covid-19 memberikan tamparan hebat terhadap tahap pendapatan rakyat Malaysia. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) dijangka akan memberikan impak ke atas keadaan fiskal negara dan sasaran defisit baharu akan dibuat selepas impak kawalan pergerakan dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diumumkan pada Ogos.

Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar) Kementerian Kewangan, Zakiah Jaafar berkata, pakej bantuan bernilai RM150 bilion itu yang melibatkan suntikan fiskal langsung baharu berjumlah RM10 bilion, pastinya akan memberi impak kepada kedudukan fiskal kerajaan.

“Kerajaan sebelum ini telah mengumumkan pelbagai pakej bantuan dan pakej rangsangan dan yang terkini, Pemulih.

“Pada tahun lepas, kita sasarkan defisit fiskal sebanyak 5.4 peratus daripada KDNK, tetapi pada tahun ini, dengan pelancaran beberapa pakej bantuan seperti Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) dan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa), kita sudah meningkatkan ramalan defisit fiskal kepada enam peratus.

“Dengan (pelancaran) Pemulih, angka ini dijangka lebih meningkat,” katanya dalam program Ruang Bicara mengenai Pemulih pada Khamis.

Menurut beliau, sasaran baharu bagi kedudukan kewangan negara akan dapat dibuat apabila kesan kawalan pergerakan terbaharu ke atas KDNK dibentangkan pada Ogos ini.

Walaupun kesan fiskal adalah sesuatu yang perlu ditangani, Zakiah berkata, perkara yang lebih penting adalah untuk menentukan keadaan ekonomi negara pulih secepat mungkin yang mana kuncinya terletak kepada program vaksinasi negara.

Beliau berkata, sekiranya sasaran 80 peratus imunisasi kelompok dicapai lebih awal, sektor ekonomi boleh dibuka dengan lebih awal, sekali gus memudahkan rakyat untuk keluar bekerja.

Artikel Berkaitan:

Mengambil contoh Amerika Syarikat, United Kingdom dan Jerman, Zakiah berkata, kadar kes dan kemasukan ke hospital di negara-negara itu turut mengalami penurunan mendadak selepas 30 peratus rakyatnya divaksinasi.

Sehubungan itu, untuk mempercepatkan program vaksinasi negara, kerajaan melalui pakej Pemulih turut memberi penekanan kepada program itu untuk mencapai imuniti kelompok secepat mungkin supaya sektor ekonomi boleh dibuka dan kerajaan akan dapat menjana semula hasil seperti “circular effect.”

Mengenai pembiayaan pakej Pemulih, Zakiah berkata, sumber hasil tambahan dikenal pasti setelah pihak kementerian sentiasa menguruskan aliran tunai kerajaan.

“Kita telah mengenal pasti sumber hasil tambahan, antaranya kutipan dividen daripada entiti kerajaan, syarikat-syarikat kerajaan, dan dalam masa yang sama terdapat penjimatan perbelanjaan kerajaan terutamanya dalam perbelanjaan pembangunan.

“Dalam tempoh kawalan pergerakan, terdapat projek-projek yang tidak dapat diteruskan, jadi ia ditangguhkan pelaksanaannya, bukan dibatalkan.

“Semasa tempoh kawalan pergerakan juga, kita boleh berjimat untuk belanja operasi seperti tidak perlu mengadakan mesyuarat fizikal, perjumpaan, tiada lawatan kerja dan sebagainya. Jadi boleh membuat sedikit penjimatan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, sebagai opsyen terakhir, kerajaan masih boleh membuat pinjaman baharu sekiranya terpaksa, walaupun akan meningkatkan kadar keberhutangan.

“Tetapi, itu opsyen terakhir kerana kita tidak mahu membebankan generasi akan datang untuk membayar hutang ini,” katanya.

Menurut Zakiah, bagi membolehkan aktiviti ekonomi diteruskan, peralihan daripada Fasa Satu Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara adalah penting dan sehubungan itu, kawalan pergerakan merupakan kunci untuk menamatkan penularan pandemik.

“Selama berkhidmat dalam kerajaan, sudah lima krisis dihadapi, tetapi ini adalah krisis pertama di mana kita perlu memasukkan elemen nyawa dalam perkiraan kita.

“Banyak perkara perlu dipertimbangkan antara menyelamatkan ekonomi dan nyawa, sektor mana harus dibantu dahulu dan perlu diutamakan, golongan mana perlu dibantu, keutamaan sekarang dan masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata, pakej Pemulih telah distrukturkan bagi mencerminkan langkah kerajaan untuk bersama-sama sektor swasta dalam membantu rakyat dan perniagaan yang terjejas ketika menghadapi pandemik, namun, dengan cabaran yang berbeza.

"Sebagai contoh, moratorium pinjaman bank mungkin tidak begitu relevan kepada kumpulan B40 dan perniagaan mikro kerana mereka tidak mempunyai pinjaman bank atau membuat pinjaman terlalu banyak.

“Justeru, bagi golongan ini, bantuan tunai dan geran adalah lebih sesuai. Inisiatif ini perlu ditanggung oleh kerajaan sepenuhnya,” katanya.

Zakiah berkata, kumpulan M40 dan T20 pula mempunyai komitmen kewangan yang lebih tinggi, sekali gus menjadikan moratorium pinjaman sebagai bantuan yang lebih sesuai untuk mengurangkan beban kewangan mereka selain memanfaatkan kemudahan pengeluaran i-Citra Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, sekiranya perlu.

“Metodologi menggabungkan fiskal dan bukan fiskal ini merupakan amalan antarabangsa. Menerusinya, kita menilai setiap satu pakej rangsangan atau bantuan,” katanya. - Bernama