Perkhidmatan bas untuk penduduk Seremban ke PPV

Anthony (tengah) menunjukkan tanda bagus kepada warga emas yang menerima vaksin di PPV Sikamat pada Khamis.
Anthony (tengah) menunjukkan tanda bagus kepada warga emas yang menerima vaksin di PPV Sikamat pada Khamis.
A
A
A

SEREMBAN - Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Seremban akan menyediakan sebuah bas bermula Isnin untuk membawa penerima vaksin ke Pusat Penerimaan Vaksin (PPV) di Nilai.

Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook berkata, kemudahan tersebut disediakan bagi membantu individu yang mempunyai masalah pengangkutan untuk ke PPV.

"Ramai warga emas dan juga OKU yang menerima janji temu di PPV Mega di Nilai kerana di situ mempunyai kapasiti sehingga 3,000 orang.

"Bagi memudahkan pergerakan mereka, kita sediakan pengangkutan seperti shuttle bus ini dengan kapasiti penumpang seramai 22 orang dalam satu masa, pemandu bas akan menunggu mereka sehingga selesai menerima vaksin dan hantar semula ke Seremban.

"Sebelum ini kita telah mulakan dengan menyediakan teksi untuk hantar warga emas ke PPV, namun disebabkan permintaan semakin ramai, jadi kita tukar dengan bas pula," katanya semasa ditemui selepas melawat PPV Sikamat pada Khamis.

Sementara itu, mengulas mengenai kempen mengibarkan bendera putih jika terputus bekalan makanan yang mendapat sambutan hangat di media sosial, beliau berpandangan pendekatan itu mampu membantu dalam menyampaikan maklumat kepada banyak pihak bagi menyalurkan bantuan.

“Kami sudah mulakan pemberian bantuan bakul makanan untuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sejak 1 Jun lagi, sesiapa sahaja yang memerlukan boleh datang pejabat, tidak perlu pasang bendera putih pun, kami akan terus berikan bantuan.

“Kerajaan negeri dan Pejabat Ahli Parlimen Seremban telah ambil langkah proaktif lebih awal, misalnya di pejabat saya lebih 100 orang datang setiap hari ambil bantuan makanan dan dalam tempoh sebulan lalu, kami telah berikan lebih 2,000 bakul makanan kepada rakyat memerlukan,” katanya.

Artikel Berkaitan: