Lapor KSM jika majikan bukan perkhidmatan perlu arah bekerja

Datuk Seri M Saravanan - Foto Bernama
Datuk Seri M Saravanan - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA- Pekerja selain daripada perkhidmatan perlu yang masih diarahkan oleh majikan untuk hadir ke tempat kerja boleh melaporkan aduan kepada Kementerian Sumber Manusia (KSM).

Ia susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di mukim-mukim Selangor dan beberapa lokaliti di Kuala Lumpur bermula Sabtu.

Menterinya, Datuk Seri M Saravanan berkata, aduan boleh dibuat menerusi aplikasi Working for Workers (WFW).

"Pekerja selain daripada perkhidmatan perlu tidak dibenarkan keluar dari kawasan PKPD dan tidak boleh bekerja di pejabat atau tempat kerja sepanjang tempoh ini," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, majikan dikehendaki mematuhi perintah itu dan membenarkan pekerja-pekerja bekerja dari rumah (BDR).

"Kementerian menerima banyak aduan daripada pekerja bahawa mereka telah diugut oleh majikan untuk hadir bekerja seperti biasa dan kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan mereka diberhentikan kerja," katanya.

Beliau berkata, bagi tempoh antara 23 Mei dan 1 Julai, KSM melalui WSW telah menerima 1,878 aduan berhubung majikan tidak membenarkan pekerja BDR.

"Negeri yang merekodkan paling banyak jumlah aduan BDR adalah Selangor iaitu 696 aduan, diikuti Kuala Lumpur (505), Johor (196) dan Pulau Pinang (123)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Saravanan berkata, sejak 1 Jun hingga 1 Julai, sebanyak 59 kompaun yang berkaitan dengan ketidakpatuhan kepada kapasiti kehadiran pekerja ke pejabat atau tempat kerja telah dikeluarkan oleh agensi-agensi penguatkuasaan di bawah KSM.

"Dengan pelaksanaan PKPD di Selangor dan Kuala Lumpur ini, KSM juga akan mempergiatkan aktiviti penguatkuasaan melalui akta-akta di bawah kementerian dan menyeru majikan agar mematuhi prosedur operasi standard PKPD yang ditetapkan sebagai langkah bersama bagi memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN Selangor, KL kena PKPD selama 14 hari